Lapangan terhad atau tidak kreatif? Dilema graduan pengajian Islam

Lapangan terhad atau tidak kreatif? Dilema graduan pengajian Islam

Kebanyakan graduan selesa menjadi pendidik, yang selebihnya bekerja dengan kerajaan.

ahmad-faisal_graduates_600
PETALING JAYA:
Walaupun beribu-ribu graduan Islam dilahirkan setiap tahun, kebanyakan mereka dilihat tidak kreatif dalam memilih kerjaya, sebaliknya selesa dalam bidang pendidikan.

Sebahagian besar daripada mereka menjadi guru atau pensyarah.

Dan antara sebabnya ialah pengajian Islam di peringkat universiti di negara ini banyak menumpukan pengkhususan untuk sektor pendidikan.

Ahli akademik pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Faisal Abdul Hadmid, mengakui tidak banyak bidang selain pendidikan yang diceburi graduan pengajian Islam, tetapi ia tidak bermakna mereka tidak mempunyai kelebihan berbanding graduan lain.

“Misalnya, jika ada mereka yang bekerja sebagai penyambut tetamu, dia ada kelebihan iaitu boleh berbahasa Arab. Mereka juga boleh jadi perhubungan awam,” katanya kepada FMT, sambil menambah golongan ini merupakan minoriti kecil.

Faisal berkata graduan pengajian Islam tidak berminat untuk bekerja di luar bidang pendidikan.

“Misalnya pengambilan dalam satu semester jika mengambil 300 orang, 120 orang itu akan jadi guru atau pensyarah. Misalnya menjadi guru al-Quran, guru agama dan ada juga yang membuka kelas motivasi sendiri.”

Pekerjaan lain dijawat graduan pengajian Islam ialah pentadbir Islam atau pegawai di jabatan Islam, penasihat syariah, pegawai ekonomi Islam atau menjadi anggota panel penasihat di bahagian perbankan Islam.

Faisal memberikan pecahan jenis pekerjaan diceburi graduan pengajian Islam: 50% menjadi pendidik, 30% pegawai tadbir Islam, perbankan Islam dan peguam syarie, manakala 20% bekerja di luar bidang mereka, contohnya membuka perniagaan.

Faisal menasihatkan graduan lepasan pengajian Islam lebih kreatif dan tidak hanya menunggu peluang pekerjaan di dalam negara, malah mencari pengalaman di luar negara.

“Misalnya, menjadi imam di luar negara, seperti di Amerika Selatan. Di sana pasaran lagi besar dan memerlukan imam dan pakar agama untuk rujukan mereka lebih banyak.

“Jika di Malaysia sudah berlambak dan mereka perlu bersaing. Jadi jika di luar negara mereka bukan sahaja mendapat pekerjaan malah mendapat gaji yang lebih besar dan pengalaman yang lebih luas,” katanya.

Mohamad Nazrin Nordin, 26, lepasan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bersetuju kebanyakan graduan pengajian Islam lebih cenderung menjadi pendidik.

Beliau yang mengajar bahasa Arab di sebuah sekolah agama berkata peluang pekerjaan dalam bidang pengajian Islam sebenarnya cerah jika mereka kreatif menggunakan kemahiran mereka.

“Saya rasa tidak susah, sebab baru-baru ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga membuka kepada guru-guru bukan daripada jurusan pendidikan untuk menjadi guru agama di sekolah.

“Tidak ramai yang keluar bidang. Kalau mereka meniaga pun ada yang mengajar Al-Quran pada malam. Ada juga yang memberi ceramah di surau.

“Pasaran dalam bidang pengajian Islam juga tinggi, misalnya ramai sekarang yang mencari guru mengaji. Kalau lihat pada kerja kerajaan sahaja, memang nampak sempit. Kalau kita ikut kreatif banyak sahaja buat duit” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.