Jepun, Jerman dan AS pelabur terbesar Malaysia, bukan China

Jepun, Jerman dan AS pelabur terbesar Malaysia, bukan China

Pelabur pelbagai negara menyediakan pekerjaan untuk 1 juta rakyat, kata menteri perdagangan antarabangsa dan industri

mustapa-cina
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 1 juta rakyat Malaysia bekerja untuk pelabur asing di negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut beliau, negara Jepun, Jerman, Amerika Syarikat dan Singapura merupakan pelabur terbesar Malaysia.

Beliau menepis dakwaan Malaysia bergantung kepada pelaburan dari China.

“Kita mempunyai pelabur pelbagai negara. Cuma dalam 2, 3 tahun kebelakangan ini, lebih banyak pelaburan masuk dari China.

“China melakukan dengan baik baru-baru ini. Mereka menang banyak projek pembinaan.

“Mereka bina empangan Bakun dan beberapa penjana kuasa. Mereka sangat kompetitif.”

Bagi sebuah negara bersaiz gergasi, dagangan tahunan Malaysia-China cuma 15.7%, berbanding 27% dagangan Malaysia-Asean.

Mustapa berkata demikian kepda pemberita di pelancaran seminar Teknologi Automasi dan Pembuatan Pintar 2017, anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Beliau ditanya sama ada Malaysia semakin bergantung kepada China, terutamanya selepas kunjungan perdana menteri ke China pada Oktober tahun lalu untuk menandatangani perjanjian bernilai RM143.64 bilion.

Mustapa berkata China masih pemain baharu dalam pembuatan. Katanya, China baru sahaja mahu membuka kilang pembuatan, seperti kilang gelas di Senawang dan kilang besi keluli di Kuantan.

Ahli Parlimen Jeli turut ditanya mengenai pengagihan pelaburan asing dalam kalangan negeri, terutamanya Pulau Pinang dan Selangor, yang dianggap hab pembuatan di Malaysia.

“Syarikat asing boleh memilih kawasan dan mereka pergi ke tempat yang mempunyai prasarana yang baik. Pengerang di Johor muncul dengan pelaburan sebanyak AS$20 bilion (RM89.2 bilion) dalam minyak dan gas.

“Melaka, Sabah dan Sarawak juga sedang meningkat naik.”

Beliau berkata Kelantan meraih pelaburan asing terkecil. “Ia salah-satu negeri yang kurang maju. Pelabur asing membuat keputusan berdasarkan dasar tanah dan prasarana.”

“Kita mempromosikan Malaysia secara keseluruhan. Bukan semuanya di Pulau Pinang dan Selangor.”

Untuk menarik pelabur asing, Malaysia perlu lebih cekap, telus dan mampu menyediakan prasarana yang betul.

“Kita akan terus melaksanakan penambahbaikan. Kita mempunyai dasar yang baik tetapi perlu dilaksanakan secara lancar.

“Kita perlukan prasarana yang lebih baik dan kita perlu telus. Itu yang rakyat mahu. Kita perlu ikut peredaran masa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.