
Insan yang mempunyai pendirian tegas, Adenan tidak menerima arahan orang lain dan bertanggungjawab terhadap semua tindakannya.
“Saya Adenan Satem. Saya bukan ‘Rambut Putih’ (bekas ketua menteri Sarawak Tun Taib Mahmud).
“Saya adalah diri saya sendiri. Beliau tidak memberitahu apa yang saya perlu lakukan.”
Adenan menduduki kerusi ketua menteri kurang tempoh 3 tahun tetapi membuktikan dalam masa singkat adalah seorang pemimpin yang bebas, mempunyai fikiran sendiri dan bertimbang rasa, mendengar suara rakyat yang meletakkan kepercayaan mereka kepadanya.
Walaupun pandangan dan dasar beliau sering bercanggah dengan kerajaan persekutuan, kepimpinan Adenan yang berhemah dan tegas Adenan membantu rakyat Sarawak berasa selesa dengan identiti mereka, memberikan keyakinan meneruskan hak sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.
Di bawah kendaliannya, Sarawak muncul sebagai satu-satunya negeri di Malaysia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dikeluarkan sekolah Cina, sekali gus membuka jalan bagi pemegang UEC memasuki perkhidmatan awam di negeri itu.
“Saya Adenan Satem, saya menyokong bantuan kerajaan untuk sekolah Cina.
“Saya Adenan Satem, menyokong pengiktirafan UEC.
“Saya Adenan Satem, tidak mahu orang Cina dipanggil ‘pendatang’ di Sarawak. Anda adalah rakyat Malaysia, dan anak Sarawak, seperti orang lain.”
Ia adalah antara ungkapan beliau paling terkenal yang menyentuh hati dan minda ratusan ribu rakyat Sarawak, bukan kerana ia sedap didengar tetapi disusuli tindakan afirmatif.
“Saya Adenan Satem, menolak untuk mempunyai kerajaan jika tiada Cina dalam kerajaan itu.”
Beliau membuktikan ini dengan menjadikan bekas presiden UPP Wong Soon Koh, menteri kewangan ke-2 Sarawak dan presiden SUPP Sim Kui Han sebagai menteri kerajaan tempatan negeri.
Adenan mendedikasikan masanya susulan kemenangan besar dalam pilihan raya Sarawak pada Mei lepas, memperjuangkan autonomi lebih besar seperti dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Ia adalah salah satu daripada banyak contoh bagaimana pemimpin berusia 72 tahun itu menunaikan misi beliau untuk membayar balik sokongan besar ditunjukkan kepadanya oleh rakyat Sarawak termasuk orang Cina yang dahulunya penyokong kuat pembangkang.
“Saya Adenan Satem, berikan saya mandat yang besar supaya saya boleh bersuara kepada Kuala Lumpur (kerajaan persekutuan).
“Anda dengar saya. Saya mewakili Sarawak.
“Saya Adenan Satem, dan saya tunaikan janji saya.”
Adenan, sebagaimana dipersetujui pemimpin lain di seluruh negara, akan dikenang sebagai pemimpin hebat yang menunaikan apa dikata.