
Beliau dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Adenan yang dilahirkan pada 1944 sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 pada 27 Januari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian mengesahkan kematian Adenan kepada Sin Chew Daily dan berkata beliau akan mendapatkan lebih banyak butiran mengenainya daripada Pejabat Ketua Menteri.
Adenan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sarawak ke-5 pada 7 Mei lalu, sejurus mengetuai Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 dengan kemenangan dua pertiga atau 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Adenan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan yang sekadar meraih 648 undi.
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu mengambil alih jawatan ketua menteri daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 1 Mac 2014.
Adenan yang dilahirkan di Kuching, meninggalkan seorang balu, Puan Sri Jamilah Anu dan 5 anak.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah St Joseph sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan St Joseph di Kuching.
Beliau pernah bekerja sebagi wartawan dan guru sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Adelaide, Australia.
Sebaik menamatkan pengajian pada 1970, Adenan menjadi majistret di Kuching sehingga 1972, sebelum dilantik sebagai penasihat undang-undang hal ehwal petroleum di Kementerian Perusahaan Utama dari 1972 hingga 1974.
Beliau memulakan kerjaya politiknya pada 1976 apabila dilantik sebagai penasihat undang-undang dan ahli jawatankuasa penasihat PBB.
Adenan pertama kali diturunkan sebagai calon pada pilihan raya kecil Januari 1979, atas tiket BN dan menewaskan Razali Sabang (Pajar) dengan majoriti 2,797 undi.
Ia disusuli kemenangan ke-2 pada PRN Sarawak beberapa bulan kemudian di kerusi sama.
Beliau menyandang kerusi DUN Muara Tuang mulai 1979 sehingga beliau berpindah ke kerusi DUN Tanjung Datu pada PRN Sarawak 2006 dan menang.
Selain itu, Adenan turut memenangi kerusi Parlimen Batang Sadong menerusi Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004 serta dilantik sebagai menteri sumber asli dan alam sekitar.
Bagaimanapun, anak jati Sarawak itu meletak jawatan dalam rombakan kecil Kabinet pada 14 Februari 2006 dan kembali ke Bumi Kenyalang.
Ia disusuli dengan pelantikannya sebagai penasihat khas di Pejabat Ketua Menteri mulai 2 April 2010 sehingga 6 Jun 2011, sebelum menjadi menteri tugas-tugas khas di Pejabat Ketua Menteri pada Jun 2011.