Bario, pedalaman Sarawak terima bantuan 10,000 liter diesel

Bario, pedalaman Sarawak terima bantuan 10,000 liter diesel

Sebanyak 10,000 liter diesel dan 3,000 liter petrol ke kawasan itu yang hanya boleh dihubungi dengan pesawat kecil atau pacuan 4 roda melalui jalan balak selama 12 jam dari Miri.

stanley-tan
KUCHING:
Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak menghantar bekalan diesel dan petrol ke Bario semalam bagi mengatasi masalah kekurangan bahan itu di kawasan berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Stanley Tan berkata sebanyak 10,000 liter diesel dan 3,000 liter petrol dihantar ke kawasan itu.

“Penghantaran kedua akan dilakukan esok (Isnin) dan akan sampai (di sana) pada Selasa kerana jalan yang kurang baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kali terakhir penghantaran ke kawasan tanah tinggi itu dibuat ialah pada 5 Disember lalu.

Jumaat lepas, sebuah akhbar melaporkan berlaku kekurangan diesel serta petrol yang kritikal di Bario sehingga menyukarkan kehidupan harian penduduk di sana.

Tan berkata masalah kekurangan bekalan tersebut berpunca daripada program penyeragaman harga yang bermula awal tahun ini.

Katanya, menerusi program penyeragaman harga, kerajaan membayar kos pengangkutan supaya harga di pedalaman sama dengan harga di bandar.

“Diharapkan dengan bermulanya program penyeragaman harga ini yang dilaksanakan kerajaan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan di Bario,” katanya.

Bario, kawasan pedalaman di utara Sarawak, hanya boleh dihubungi menggunakan pesawat kecil atau dengan kenderaan pacuan 4 roda melalui jalan balak yang mengambil masa sehingga 12 jam dari Miri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.