Electrolux tarik balik dapur gas di Singapura akibat letupan

Electrolux tarik balik dapur gas di Singapura akibat letupan

Pelanggan terjejas boleh mendapatkan pampasan sepenuhnya dari Electrolux.

glass-gas-cooker-hob
PETALING JAYA: Syarikat peralatan rumah, Electrolux mengumumkan penarikan balik 4 model dapur gas yang dilapor mengakibatkan letupan kecil di Singapura.

The Straits Times hari ini melaporkan kira-kira 5,800 produk itu dijual di Singapura, namun ia tidak dijual di Malaysia.

Akhbar itu memetik Presiden Persatuan Pengguna Singapura, Lim Biow Chuan menasihatkan pengguna terjejas berhenti menggunakan dapur gas model EGT9637CKP, EGT7637EGP, EGT7637CKP dan EGT7627CKP yang dibeli antara 2014 sehingga tahun lalu.

Pelanggan terjejas boleh menghubungi Electrolux di talian 6727-3613 atau 6727-3699 antara 9 pagi hingga 5 petang setiap hari atau menerusi e-mel [email protected] untuk mendapatkan bayaran pampasan sepenuhnya.

Pelanggan dilaporkan mengadu tentang permukaan kaca dapur itu pecah dan letupan kecil berlaku ketika menggunakan perkakas jenama Sweden itu.

Pihak berkuasa keselamatan di negara itu, Spring Singapura mengesahkan sekurang-kurangnya seorang pengguna melecur disebabkan kejadian itu.

Agensi itu dilaporkan tidak menerima laporan lain sehingga 4 Januari lalu, selain 1 laporan diterima dari seorang pemaju kondominium mengenai banyak kes sama, termasuk 1 kes menyebabkan seorang kanak-kanak melecur.

“Bagi pelanggan yang membeli pangsapuri dilengkapi model produk itu, Electrolux sedang berhubung dengan pemaju hartanah berkenaan untuk mempertimbangkan bayaran pampasan kepada penduduk,” kata Electrolux menerusi kenyataan yang dipetik Mediacorp di Singapura.

Electrolux juga dilaporkan sedang bekerjasama dengan Spring sejak April 2016 selepas menerima laporan pertama berhubung masalah itu.

“Tiada model lain termasuk model yang menggunakan tong gas/ LPG yang terjejas,” kata syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.