Najib menjenamakan semula dirinya, kata The Economist

Najib menjenamakan semula dirinya, kata The Economist

Majalah itu berkata strategi perdana menteri adalah menjenamakan dirinya sebagai orang Islam yang warak dan melemahkan pembangkang yang berpecah belah.

Najib-Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mahir menjenamakan dirinya sebagai seorang Islam yang warak dan berjaya melemahkan pembangkang, kata The Economist.

Edisi terkini majalah terkemuka itu berkata di sebalik misteri sekitar 1Malaysia Development Berhad (1MDB), perdana menteri itu nampaknya berjaya menyatukan kuasanya.

Najib, menurut majalah itu, berada “pada kemuncak kuasanya”.

Meramalkan perdana menteri akan memanggil pilihan raya awal, ia mengambil maklum presiden Umno itu, yang mendapat sokongan penuh parti, berjaya mengemudi PAS daripada pembangkang yang meragam.

Ancaman bekas timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap parti pemerintah juga dinyahkan dengan berkesan. Anwar sedang menjalani hukuman penjara kerana meliwat.

Najib, menurut majalah itu, turut bertindak terhadap aktivis dan ahli politik yang berterusan mempersoalkan beliau dan kerajaannya.

“Bagi 1MDB, satu-satunya pensabitan di Malaysia yang berkaitan melibatkan seorang wakil rakyat yang menonjolkan dakwaan salah laku oleh para pengurus dana itu,” katanya, merujuk kepada Ahli Parlimen Rafizi Ramli.

Najib giat memikat PAS dan menjenamakan dirinya sebagai seorang Islam yang warak. Najib, menurut The Economist, mengorak “langkah luar biasa” tahun lepas apabila menyokong usul peribadi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah.

Najib turut “berharap pembangkang terus bertelagah – terutamanya, kegagalan mereka mengakui Anwar gagal memimpin pembangkang dari penjara”.

Tetapi, menurut majalah itu, kejutan boleh berlaku. Ini termasuk kemungkinan meminta Tan Sri Muhyiddin Yassan, bekas orang kuat Umno kini memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia, mengetuai mereka, dengan itu mengubah peluangnya untuk menang.

Bagaimanapun, pembangkang perlu “menebalkan muka dan beberapa prinsip mereka” untuk ini berlaku.

Satu lagi kejutan mungkin hala tuju ekonomi. Najib, kata The Economist, bukan sahaja melawan pembangkang, tetapi juga ekonomi. Ini kerana ringgit yang menjunam dan ekonomi tidak seteguh seperti yang diharapkan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.