Mangsa banjir Terengganu dijangka pulang ke rumah esok

Mangsa banjir Terengganu dijangka pulang ke rumah esok

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Khairul Ariffin Che Ramli berkata situasi banjir di Terengganu sudah bertambah baik.

banjir-ganu

PETALING JAYA: Mangsa banjir di Terengganu dijangka dapat pulang ke rumah masing-masing hujung minggu ini jika cuaca baik berterusan.

Menurut laman web ebanjir, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,415 orang pada pagi ini, berkurangan 70% berbanding pagi semalam, seramai 8,352 orang.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Khairul Ariffin Che Ramli berkata situasi banjir di Terengganu sudah bertambah baik.

“Cuaca mendung tetapi tidak hujan,” katanya.

Beliau berkata lebih banyak pusat pemindahan akan ditutup dan mangsa akan pulang ke rumah masing-masing jika tiada lagi hujan.

Pada masa ini, hanya 26 pusat pemindahan masih dibuka di Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Setiu dan Marang berbanding 113 pusat semalam.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan juga berkurangan kepada 13,455 orang pagi ini berbanding 13,730 pagi semalam.

Daripada jumlah keseluruhan, 5,201 orang ialah kanak-kanak dan 4,475 wanita.

Di Sabah, aplikasi InfoBanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan jumlah mangsa banjir ialah 163 orang pagi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.