Harakahdaily perlu contohi jiwa besar Nik Aziz, kata Saifuddin

Harakahdaily perlu contohi jiwa besar Nik Aziz, kata Saifuddin

Media rasmi PAS semalam mencemuh pelantikan pemimpin parti sekutu PKR, Saifuddin Nasution sebagai penasihat kerajaan Pulau Pinang

harakahdaily
PETALING JAYA: Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang dicemuh Harakahdaily selepas dilantik penasihat kerajaan Pulau Pinang meminta media rasmi PAS itu agar mencontohi jiwa besar pemimpin mereka, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saifuddin, yang juga setiausaha agung PKR berkata, bekas menteri besar Kelantan itu pernah memberinya peluang memimpin badan berkaitan kerajaan (GLC) Kelantan pada 2004 hingga 2007, walaupun berbeza parti.

Beliau berkata demikian mengulas artikel yang disiarkan Harakahdaily, mencemuh pelantikan Saifuddin sebagai penasihat strategi kepada ketua menteri Pulau Pinang sebagai “dedak” DAP kepada PKR.

“Tidak timbul istilah Nik Abdul Aziz beri dedak kepada Saifuddin. Masa itu DAP pun tak pertikaikan, tak ada sesiapa pertikai pun,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Nik Aziz turut memberi kepercayaan kepadanya untuk menjalankan program kebajikan untuk rakyat Kelantan, tambahnya.

Menyusuli pembubaran Pakatan Rakyat, PAS dikeluarkan daripada pemerintahan pakatan pembangkang nasional di Pulau Pinang, yang dipimpin perikatan DAP-PKR-Amanah, Pakatan Harapan.

Amanah dan PAS dilaporkan berminat untuk bertanding di kawasan DUN yang sama, antaranya di Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi PKR.

Selain menjadi penasihat, Saifuddin juga menganggotai jawatankuasa “Pemerkasaan Melayu” yang ditubuhkan untuk mendekati dan menarik sokongan masyarakat Melayu tempatan kepada Pakatan Harapan.

“Dia (ulasan Harakahdaily) lihat setiap langkah politik yang dibuat selain daripada kerangka mereka akan memberikan suatu mudarat yang besar,” kata Saifuddin.

“Saya anggap ianya sebagai analisis yang cetek,” tambahnya.

Pautan:

Lidah rasmi PAS bidas pelantikan Saifuddin sebagai ‘dedak DAP’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.