PSM bimbang ada pesakit terabai di bawah skim bayar penuh

PSM bimbang ada pesakit terabai di bawah skim bayar penuh

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, A Sivarajan berkata mutu rawatan untuk pesakit tidak berbayar akan menurun

sivarajan-hospital-1
PETALING JAYA:
Skim Pesakit Bayar Penuh (FPP) hospital kerajaan yang akan diperluaskan bagi membantu doktor pakar menambah pendapatan terdedah kepada salah guna, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau berkata perkhidmatan itu mengalakkan hospital dan doktor pakar mengutamakan FPP daripada bukan FPP.

Misalnya, kata Sivarajan, FPP membolehkan penggunanya ditempatkan di wad kelas bawah, yang lazimnya menempatkan pesakit awam.

“Bagaimana sistem itu mengutamakan dan menentukan pemberian katil?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah skim itu, doktor pakar boleh merawat dan mengenakan caj sehingga 3 kali ganda gaji yang dibayar hospital.

“Sekiranya gaji dan elaun bulanan doktor itu RM15,000, dia boleh mengambil kesempatan daripada FPP untuk memperoleh RM45,000 sebulan.

“Sekiranya 2/3 gaji kamu itu daripada FPP, tidak mahukah kamu memberi komitmen dan perhatian kepada mereka dan bukan kepada pesakit lain?”

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya baru-baru ini mengumumkan skim FPP akan diperluaskan kepada 8 buah hospital, selepas Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya.

Lapan hospital itu adalah Hospital Besar Kota Bharu, Hospital Kuala Terengganu, Hospital Kuantan, Hospital Temerloh, Hospital Ipoh, Hospital Besar Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Seremban.

Di bawah skim itu, doktor pakar di hospital berkenaan boleh menyediakan khidmat rundingan dan merawat pesakit yang sedia membayar kadar hospital swasta.

Hilmi berkata skim itu diperkenalkan bagi mengawal penghijrahan doktor ke hospital swasta yang menawarkan gaji yang lebih baik, dan tidak akan menjejaskan mutu rawatan di hospital kerajaan.

Sivarajan bagaimanapun tidak bersetuju. “Kawal guna yang samar menguatkan hujah kami yang berpendapat mutu rawatan untuk pesakit tidak berbayar akan menurun kerana semua doktor pakar yang pernah terlibat atau belum terlibat akan pergi kepada skim itu, lantas mengabaikan tanggungjawab kepada pesakit awam.”

“Berdasarkan kepada analisis ke atas garis panduan skim, kami menyimpulkan FPP mengutamakan pendapatan doktor pakar.

“Di samping memastikan doktor pakar tidak berhijrah ke hospital swasta, kementerian juga mahu mengambil keuntungan daripada pesakit bayar penuh untuk mengumpul dana bagi perkhidmatan tersubsidi untuk rakyat terbanyak.”

Beliau berkata skim itu membolehkan kerajaan mengurangkan belanjawan kesihatan dan memaksa hospital kerajaan supaya berkelakuan seperti entiti perniagaan.

“Pengarah hospital akan terdorong untuk memudahkan dan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk skim FPP bagi menampung kos menguruskan hospital.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.