Jalan dinaiki air, 50 kakitangan naik jentolak ke hospital

Jalan dinaiki air, 50 kakitangan naik jentolak ke hospital

Pesakit tidak terlalu kritikal dinasihat mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Berang atau Klinik Kesihatan Ajil yang masih boleh dilalui kenderaan ringan ketika ini.

2
KUALA TERENGGANU:
Seramai 50 kakitangan Hospital Hulu Terengganu terpaksa menaiki jentolak yang disediakan Bilik Gerakan Bencana Pejabat Daerah untuk pergi bekerja, apabila laluan ke hospital itu mula dinaiki air awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, setiap tahun, laluan ke hospital itu akan dinaiki air dari kedua-dua arah apabila hujan lebat berterusan dalam tempoh lama.

“Saya ada meminta agar disediakan trak supaya lebih ramai dapat dibawa ke hospital, tetapi dimaklumkan ia agak berbahaya kerana arus deras dan lebih selamat menaiki jentolak.

“Bagaimanapun, sekiranya ada kes kecemasan memerlukan pesakit dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu atau pesakit dari hospital itu dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, kami terpaksa juga gunakan lori dan ambulans pula akan menunggu di jalan terdekat yang masih boleh dilalui,” katanya ketika dihubungi Bernama sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pelawat Hospital Hulu Terengganu hanya berbuat demikian sekiranya mempunyai urusan sangat penting sahaja, memandangkan pergerakan ke hospital itu agak terbatas ketika ini.

Dr Mohammad berkata, bagi pesakit tidak terlalu kritikal, mereka masih boleh dirujuk ke Klinik Kesihatan Kuala Berang atau Klinik Kesihatan Ajil yang masih boleh dilalui kenderaan ringan ketika ini.

Banjir: Lebih 20,000 dipindahkan di Terengganu, Kelantan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.