
Jurucakap JAS Johor berkata kerja pembersihan termasuk menyedut tumpahan minyak di permukaan air.
“Operasi perlu dilakukan secara berhati-hati kerana jika terburu-buru minyak akan pecah dan kita tidak dapat membersihkannya secara total.
“Kita juga tidak dapat menjangkakan berapa lama ia (operasi) berlangsung atau bila akan selesai,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh pihaknya, minyak yang tumpah adalah jenis “marine fuel oil” (MFO) 500 CST yang digunakan dalam industri perkapalan.
Jurucakap itu juga berkata pihaknya belum mendapat maklumat mengenai keluasan sebenar kawasan yang terjejas dengan tumpahan minyak itu.
Katanya JAS Johor juga belum ada rancangan menjalankan operasi pembersihan bersama dengan pihak berkuasa Singapura.
Menurutnya semua pihak yang berkaitan termasuk Jabatan Perikanan negeri dimaklumkan tentang bencana itu dan diminta memberitahu semua penternak ikan sangkar untuk memantau kualiti air di kawasan ternakan ikan mereka.
“Sekiranya terdapat perubahan, mereka perlu segera memaklumkan kepada kami agar JAS boleh membantu memasang alat kawalan tumpahan minyak bagi menghalang aliran minyak itu berterusan mencemari kawasan penternakan,” katanya.
JAS Johor turut menasihati nelayan menjauhi kawasan tumpahan minyak buat sementara waktu bagi mengelakkan mereka menangkap ikan terjejas selain memastikan peralatan pukat tunda mereka tidak rosak.
Dalam kejadian 11.01 malam itu, kapal Wan Hai 301 yang didaftarkan di Singapura terputus bekalan elektrik menyebabkan ia tidak dapat dikawal dan melanggar bahagian kanan tangki kapal APL Denver dan mengakibatkan tumpahan minyak sehingga ke Pulau Ubin, Singapura.
Menurut Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan tangki minyak APL Denver berkapasiti 300 tan.
2 kapal kontena berlanggar, minyak tumpah dekat pelabuhan Johor