
“Itu hak dia,” kata Tan Sri Khalid Abu Bakar ringkas kepada FMT hari ini.
Semalam, Zunar dalam kenyataan kepada FMT berkata beliau bercadang untuk menyaman polis berhubung satu tangkapan di Kuala Lumpur, pada 17 Disember lalu.
Dalam kejadian itu, Zunar bersama 4 yang lain ditangkap di satu majlis amal “Minum Petang Bersama Zunar” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).
“Ia adalah majlis tertutup mengutip dana, tetapi polis datang dan menahan saya bersama 2 rakan dan pembantu saya. Mereka juga merampas 1,300 buku membabitkan 12 tajuk dan 100 t-shirt untuk dijual hari itu.
“Mereka menggunakan Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan terhadap saya dan saya percaya ini dilakukan dengan niat jahat,” katanya.
Penangkapan itu tidak sampai sebulan selepas Zunar ditahan di Pulau Pinang pada 26 November di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, selepas laporan polis dibuat kerana lukisannya didakwa mengganggu keamanan.