DBKL sedia bas percuma hantar anak penghuni PPR ke sekolah

DBKL sedia bas percuma hantar anak penghuni PPR ke sekolah

Sebanyak 165 bas disediakan DBKL bagi kegunaan pelajar sekolah rendah dan menengah yang tinggal di 74 PPR dan PA sekitar ibu negara dengan peruntukan RM80 bagi setiap pelajar.

11

KUALA LUMPUR: Setiap tahun Hamidah Abdul Latif perlu membelanjakan lebih RM2,000 bagi membiayai tambang perkhidmatan bas sekolah 3 anaknya untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah setiap hari.

“Itu belum termasuk perbelanjaan dan komitmen lain seperti sewa rumah, perbelanjaan dapur, yuran sekolah dan sebagainya…tambang sekolah saja sudah memakan lebih 10% gaji saya dan suami,” luah pembantu kedai berusia 38 tahun itu ketika ditemui Bernama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria hari ini.

Kini, dengan adanya perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk anak penghuni PPR dan Perumahan Awam (PA) bermula semalam, Hamidah boleh menarik nafas lega kerana beban ditanggung selama ini dapat dikurangkan.

Hamidah merupakan antara ibu bapa kepada 6,500 anak penghuni yang menikmati manfaat itu.

Sebanyak 165 bas disediakan kerajaan bagi kegunaan pelajar sekolah rendah dan menengah yang tinggal di 74 PPR dan PA di sekitar ibu negara melibatkan peruntukan RM80 untuk setiap pelajar.

Bagi Kamal Abdullah, 42, perkhidmatan itu meringankan beban golongan kurang berkemampuan sepertinya yang sebelum ini terpaksa berulang-alik dari tempat kerja bagi menghantar dan mengambil 2 anaknya ke sekolah sesi pagi.

“Sebelum ini, saya terpaksa ‘curi masa’ rehat untuk ambil mereka pulang ke rumah pada tengah hari, tapi sekarang boleh bergantung harap pada bas sekolah percuma,” katanya yang tinggal di PPR Air Panas.

Pekerja hotel, Ahmad Razif Omar, 47, pula bersyukur memandangkan pengangkutan itu lebih selamat berbanding menghantar 2 anaknya menaiki motosikal.

“Kami juga kenal pemandu yang tinggal di perumahan sama, jadi rasa lebih selamat dan terjamin untuk anak ulang-alik dengan bas sekolah,” katanya.

Sementara itu, pengusaha bas, Mohd Izwan Abd Rahman turut memuji inisiatif kerajaan itu, namun mencadangkan DBKL mengatur perjalanan bas lebih selaras agar perkhidmatan itu dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Di PPR Pantai Ria ini sudah ada 10 bas, tapi pihak pengurusan letak 10 lagi bas tambahan sedangkan sudah mencukupi menyebabkan bas tak penuh.

“Keadaan ini mungkin merugikan…selain itu pihak pengurusan juga perlu menyalurkan maklumat secara lebih jelas kepada ibu bapa, contohnya nombor bas untuk elak kekeliruan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.