
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kenyataan bekas pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) itu seolah-olah menunjukkan ada usaha menyembunyikan kebenaran berkaitan kes siasatan SRC International (SRC).
“Apa yang jelas dan tepat di tahap ini adalah (Tan Sri) Apandi Ali dan (Datuk) Dzulkifli Ahmad wajib bertanggungjawab secara serta merta untuk memberi penjelasan benar dan telus kepada keseluruhan rakyat Malaysia berkaitan kenyataan Bahri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Bahri sewaktu bercakap kepada FMT mengakui beliau memilih bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah.
Selain itu, Bahri turut berasa berdosa apabila kes penyelewengan melibatkan sejumlah wang yang besar gagal dibawa ke mahkamah sedangkan kes lain tidak mengalami sebarang masalah.
Kata Haniff, sekiranya peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM tidak memberikan penjelasan, mereka perlu meletakkan jawatan serta merta kerana terlibat dalam konspirasi berkaitan SRC.
“Bahri bukannya pegawai biasa dalam SPRM, tetapi merupakan pengarah BOK dan juga memainkan peranan penting menyiasat SRC berkaitan alegasi jenayah Datuk Seri Najib Razak.
“Begitu juga, alegasi berhubung gesaan pihak pejabat peguam negara yang kononnya kertas pertuduhan terhadap Najib berkaitan kes SRC yang pada ketika itu diedarkan dengan berleluasa di Internet kononnya adalah palsu,” katanya.
SRC ditubuhkan pada awal 2011 untuk meneroka pelaburan strategik di seberang laut dalam sumber tenaga. Ia kemudian diambil alih Kementerian Kewangan berikutan program penstrukturan semula 1MDB.
SRC menjadi perhatian apabila sejumlah RM42 juta didakwa ditemui dalam akaun peribadi Najib.
Ia dilapor dimasukkan ke akaun perdana menteri melalui 2 transaksi pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 selepas disalurkan melalui 2 syarikat lain iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Apandi pada Januari 2016 memutuskan Najib tidak bersalah atas tuduhan melakukan salah laku dalam urus niaga berkenaan.