
Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Syerleena Abdul Rashid dan Ketua DAP Bahagian Bangkok Lane, Chris Lee berkata perselisihan yang berlaku sebelum ini biar berlalu.
“Benda lepas biar lepas. Apa yang perlu kita buat sekarang ialah fokus dengan rancangan masa kini dan masa depan.
“Baguslah jika dia (Teoh) sedar ada cara lebih baik untuk menyalurkan pesanannya, menerusi saluran tepat ialah pilihan terbaik.
“Saya teruja untuk mendengar sumbangan dan cadangan membina Roger,” kata Syerleena kepada FMT.
Katanya, segala-galanya menuju kepada matlamat yang sama, iaitu melakukan terbaik untuk Pulau Pinang.
Lee berkata beliau secara peribadi mengalu-alukan Teoh kembali dalam parti.
“Secara peribadi, pada saya lupakan saja episod ini dan kerjasama untuk masa depan Pulau Pinang. Apa yang penting ialah kebajikan rakyat Pulau Pinang menjadi keutamaan kami,” katanya.
Awal hari ini, FMT melaporkan Teoh, pelajar PhD dalam Pengajian Pengangkutan di Imperial College London menarik balik keputusan peletakan jawatan dalam DAP susulan perbincangan “membina” bersama kepimpinan tertinggi kerajaan Pulau Pinang.
Katanya, beliau membuat keputusan kembali kepada parti selepas diberikan jaminan untuk mendapatkan saluran “terus” untuk mengutarakan pandangannya mengenai pelan induk pengangkutan itu.
Pada 12 Disember, Teoh meletakkan jawatan sebagai ahli biasa di DAP Bahagian Bagan, selepas kebimbangannya terhadap PTMP tidak diendahkan.
Beliau berkata DAP melampau kerana parti itu terlalu selesa kerana memegang kuasa selama 8 tahun kini, dan turut meluahkan kebimbangannya DAP mungkin berubah menjadi seperti Barisan Nasional.
Teoh menentang pembinaan lebuh raya yang dicadangkan dalam PTMP, berkata pelan induk itu sebaliknya perlu lebih berpusat kepada pengangkutan awam.
Beliau selama ini banyak menulis artikel memberi penjelasan mengapa PTMP akan gagal jika dilaksanakan.
Kritikan terbukanya itu menyebabkan beliau dikritik pemimpin akar umbi DAP seperti Syerleena dan Lee, yang kedua-duanya ialah ahli majlis Pulau Pinang.
Mereka berasakan Teoh belum cukup berpengalaman dan memahami apa yang dihadapi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di negeri itu.
Mereka berkata kenyataan Teoh mengkritik kerajaan negeri dan parti itu tidak memberikan jalan penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas.