Exco Selangor: Terima kasih, Jamal

Exco Selangor: Terima kasih, Jamal

Bagaimanapun, kerajaan negeri dan MPAJ berkata cukup setakat Jamal menyerahkan maklumat premis kegiatan haram dan membiarkan polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan.

ean-yong-jamal
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor menghargai tindakan Datuk Seri Jamal Yunos membongkar pusat judi haram, tetapi berharap beliau menyerahkan maklumat berhubung isu itu kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah berkata ketua Umno Sungai Besar itu perlu menghormati undang-undang dan bukan “meletakkannya di tangan sendiri”.

“Terima kasih bantu kita membanteras kegiatan haram tetapi beliau sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik terlebih dulu.

“Beliau perlu menyerahkan maklumat tentang premis kegiatan haram kepada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Jamal tampil bersama-sama 100 pemuda bermotorsikal, menyerbu 2 pusat perjudian sekitar Jalan Kosas, Ampang.

Dengan berpakaian jubah dan kopiah putih, beliau turut membawa keratan gambar Ean dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwanya tidak berbuat apa-apa untuk membanteras masalah itu.

Jamal mendakwa pemilik 2 unit pusat judi yang diserbunya membayar RM10,000 kepada ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk mendapat lesen.

Dakwaan itu dinafikan S Supiramany, ahli majlis MPAJ merangkap ahli Jawatankuasa Pelesenan dan Pembangunan Usahawan.

Menurutnya, setiap permohonan lesen termasuk lesen hiburan perlu menjalani proses pemeriksaan terperinci.

“Misalnya lesen urut perlu pastikan mereka gunakan dinding kaca agar orang di luar boleh lihat apa berlaku di dalam,” kata Supiramany.

Beliau tidak menafikan wujud premis judi dan urut tanpa lesen, namun menegaskan ia tidak direstui MPAJ.

“Soal itu kita sudah maklumkan kepada polis. Penguatkuasa MPAJ juga ada membuat serbuan dan rampasan dengan bidang kuasa yang ada.

“Tidak betul jika Jamal kata kami terima wang. Kalau kita tahu pemohon lesen mahu buat perkara tidak betul, kita tidak luluskan,” katanya.

Jamal Yunos bawa ‘Azmin’, ‘Ean Yong’ serbu pusat judi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.