
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata, 2 jentera dan 16 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.04 petang.
“Kami tiba di lokasi 10 minit kemudian, namun kebakaran di bahagian dapur itu sudah dipadamkan penduduk di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Ibrahim, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa, Fatin Farhana Abdullah, 44, cuba menutup api dapur gas tetapi berlaku letupan kecil hingga mencederakan dirinya.
“Ketika kejadian, dipercayai 3 orang berada di dalam premis berkenaan,” katanya.
Ibrahim berkata, mangsa kemudiannya dibawa orang ramai ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menerima rawatan.
Menurutnya, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian.