PAS: Islam tiada paksaan, tapi sekali masuk tak boleh keluar

PAS: Islam tiada paksaan, tapi sekali masuk tak boleh keluar

Nasruddin turut menasihatkan umat Islam tidak menghina agama lain.

Nasrudin-Hassan-Tantawi
PETALING JAYA:
PAS hari ini mempertahankan undang-undang yang menghalang umat Islam keluar agama, dengan berkata ia kerana Islam dianuti oleh mereka dengan rela hati.

Sambil menyarankan umat Islam berlaku adil kepada bukan Islam, Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berkata Islam hanya boleh diterima dengan kesedaran, walaupun “kita semua yakin bahawa agama mereka salah menurut pandangan Islam”.

“Sebab itulah, apabila seseorang menganut ajaran Islam, tiada lagi jalan keluar untuk mereka melainkan mereka terpaksa berdepan dengan undang-undang murtad di dalam Islam kerana ia adalah satu penghinaan kepada ajaran Islam,” kata ahli Parlimen Temerloh itu dalam artikel diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily hari ini.

Dalam penulisannya, Nasruddin turut menasihati umat Islam memastikan keadilan bukan Islam terbela.

Menurutnya, agama bukan Islam juga tidak boleh dipersenda, sejajar dengan tuntutan Al-Quran.

“Sungguhpun Islam tidak pernah mengiktiraf tuhan-tuhan yang disembah selain Allah SWT, namun Islam mempunyai sikap yang tegas dan jelas agar umatnya tidak menghina dan mencerca tuhan yang mereka sembah.”

Umat Islam di Malaysia tertakluk kepada enakmen syariah negeri yang boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang keluar Islam, walaupun kesalahan murtad tidak dinyatakan secara spesifik. Mahkamah syariah juga boleh memutuskan seseorang itu masih Islam atau sudah meninggalkan agamanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.