
Menurut laporan Straits Times (ST), Thomson Medical berharap hospital terbabit dapat menarik warga Singapura mendapatkan rawatan di kemudahan itu yang hanya 5 minit jauh dari Tambak Johor, memandangkan purata harga ubat di Malaysia sekitar 30% lebih murah daripada republik itu.
Konsep buaian ke liang lahad itu merangkumi sebuah hospital komuniti, sekolah untuk bakal doktor dan jururawat dari Singapura dengan kemudahan penyelidikan, pusat pakar dan kediaman warga tua.
Menurut laporan ST, ia bukan perkara baharu buat rakyat Singapura memandangkan mereka sudah mula merentas sempadan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan susulan penubuhan Hospital Gleneagles Medini yang memuatkan 300 katil oleh Parkway Health.
Dengan keluasan 11 hektar, saiz kemudahan baharu itu adalah satu suku daripada Hospital Besar Singapura di kampus Outram seluas 43 hektar.
ST melaporkan projek itu dianggarkan menelan belanja RM5 bilion dengan hospital komuniti dan pusat pakar sahaja bernilai sekitar RM1.3 bilion.
Sebuah farmasi runcit sudah beroperasi di tapak terbabit sejak 10 Disember lalu.
Pembinaan hospital utama yang mampu memuatkan sehingga 500 katil itu dijangka bermula tahun depan dan beroperasi menjelang 2020, manakala keseluruhan projek termasuk sekolah perubatan dan kediaman warga emas dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.
Pengerusi Thomson, Roy Quek dipetik ST berharap kemudahan itu dapat mengurangkan kesesakan di hospital republik itu, selain meningkatkan jumlah doktor dan jururawat yang biasa dengan landskap penjagaan kesihatan tempatan.
“Saya pada dasarnya cuba membina kluster penjagaan kesihatan awam versi sektor swasta,” katanya merujuk kumpulan yang mengendalikan pelbagai hospital kerajaan, poliklinik dan perkhidmatan kesihatan lain di Singapura.
Bekas timbalan setiausaha dasar kesihatan di Kementerian Kesihatan Singapura itu berkata, projek itu tidak dilaksanakan di republik itu disebabkan tanah yang terhad.