
Tan Sri Adenan Satem yang dipetik Borneo Post berkata, beliau gembira melihat rakyat Sarawak bersatu padu dan tidak masuk campur agama serta kepercayaan orang lain.
“Sarawak adalah tanah di mana rakyat berbilang kaum dan kepercayaan boleh hidup bersama dengan gembira. Dahulu, apabila berlaku rusuhan kaum di bahagian lain negara ini, kami di Sarawak menganggap ia hanya ‘gemuruh di bukit jauh’.
“Sejak kebelakangan ini, apabila wujud banyak ketegangan sosial mengenai isu kaum dan agama, tetapi kita di Sarawak bertenang dan enggan tertarik kepada perdebatan yang memecahbelahkan secara semula jadi,” katanya dalam perutusan Krismas dan Tahun Baharu 2017.
Beliau berkata, rakyat Sarawak seperti adik-beradik yang menghormati agama serta budaya satu sama lain.
“Di sesetengah bahagian di Sarawak, ada umat Islam dan penganut Kristian yang tinggal di bawah bumbung sama,” katanya sambil menambah penganut agama lain turut berkongsi kegembiraan meraikan Krismas bersama penganut Kristian.
Dalam pada itu, Adenan berkata, kerajaan negeri sedia menyokong institusi swasta, sekular atau agama yang memberikan persekitaran kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Katanya, bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi kedua selepas bahasa Malaysia di Sarawak.
“Kita perlu mahir dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa antarabangsa yang digunakan dalam pengembangan pengetahuan, perniagaan dan perdagangan.
“Saya percaya kita boleh menguasai bahasa itu tanpa merendahkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Kami sedia menyokong institusi swasta (untuk tujuan ini).”