Kerajaan silap besar beli saham syarikat Indonesia, kata PKR

Kerajaan silap besar beli saham syarikat Indonesia, kata PKR

Naib presiden PKR akan membuat laporan polis terhadap perdana menteri dan ahli lembaga pengarah Felda pada Khamis ini.

rafizi-ramli_felda_600
KUALA LUMPUR:
Langkah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membeli pegangan saham dalam sebuah syarikat kelapa sawit Indonesia bakal menjadi kesilapan terbesar kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata, ini kerana ia akan memberi kesan buruk kepada peneroka seterusnya mengalihkan sokongan mereka kepada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Ini memberi peluang saya masuk ke Felda untuk menerangkan peranan perdana menteri dalam urus niaga ini.

“Dengan beralihnya sokongan antara 3 hingga 5% pengundi Felda, akan jatuhlah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, laporan menyatakan Felda setuju membeli 37% pegangan PT Eagle High Plantations Tbk dengan nilai RM2.25 bilion (AS$505.4 juta).

Pelbagai pihak termasuk Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak mempersoalkan kewajaran pembelian itu kerana disifatkan terlalu mahal.

Rafizi mendakwa pembelian itu pastinya akan mengurangkan lagi dana Felda dan memberi kesan kepada peneroka.

“Jika kejatuhan harga saham Felda Global Ventures (FGV) tidak memberi kesan langsung dan segera, sebarang ketidaktentuan dalam aliran tunai Felda akan memberikan kesan terus kepada peneroka.

“Bagi peneroka yang masih menjual buah sawit melalui Felda, kesan mungkin dari segi tawaran harga atau tempoh bayaran.

“Bagi peneroka yang menyerahkan tanaman semula kepada Felda, kesannya dari segi kemajuan kerja penanaman semula, hutang yang ditanggung daripada penanaman semula serta ketepatan bayaran elaun sara hidup sementara menunggu hasil.

“Malah keseluruhan yang menetap di Felda akan terkesan dari segi barang runcit yang dibekalkan melalui kedai diusahakan Felda,” katanya lagi.

Pembelian itu setahun selepas FGV membatalkan rancangan sama membeli 37% Eagle High, ketika itu dengan harga RM3.04 bilion (AS$680 juta).

Rafizi berkata lagi, beliau akan mengadakan siri sidang media berhubung perkara itu dan membuat laporan polis terhadap Najib serta semua ahli lembaga pengarah Felda pada Khamis ini.

Penyelidik harap Felda beli Eagle High pada harga tepat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.