JPJ: Rekod pemandu nahas bas di Pagoh bersih

JPJ: Rekod pemandu nahas bas di Pagoh bersih

Bagaimanapun, syarikat pengendali bas berkenaan didapati memiliki 8 saman tertunggak antara 2014 dan November 2015

Ketua-Pengarah-JPJ,-Datuk-Seri-Nadzri-Siron
KUALA LUMPUR: Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di KM 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara semalam, tidak memiliki sebarang kesalahan dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron berkata berdasarkan semakan JPJ, pemandu bas berkenaan, Zakeer Zubir, 32, yang turut maut dalam kejadian itu, didapati tidak mempunyai saman tertunggak, selain rekod bersih.

“Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan pemeriksaan Puspakom pemandu bas berkenaan juga masih sah dan aktif,” katanya kepada pemberita selepas Op Jalan Fasa 1 JPJ, di Jalan Bangsar, di sini malam tadi.

Dalam kejadian awal pagi semalam itu, bas berkenaan terjunam ke dalam cerun dan merempuh benteng konkrit di Kampung Jayor di KM 137.3 berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, menyebabkan 14 orang maut dan 16 cedera.

Bagaimanapun, Nadzri berkata hasil semakan rekod JPJ, syarikat pengendali bas berkenaan iaitu Goldstar Express (M) Sdn Bhd didapati memiliki 8 saman tertunggak antara 2014 dan November 2015.

“Lapan saman tertunggak syarikat bas itu adalah hanya daripada JPJ sahaja…kami masih menunggu rekod saman daripada polis dan Spad (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) sekiranya ada,” katanya.

Beliau berkata JPJ akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan polis untuk menyiasat punca kemalangan tragis itu.

“Ya, JPJ bersama polis dan Miros akan melakukan siasatan terperinci mengenai kemalangan bas terbabit manakala perkembangan laporan siasatan insiden berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, dalam Op Fasa 1, Nadzri berkata JPJ memeriksa 816 motosikal dan daripada jumlah tersebut sebanyak 243 notis dikeluarkan untuk pemeriksaan spesifikasi yang tidak mematuhi peraturan JPJ.

Operasi yang bermula 8 malam dan berakhir 11.20 malam tadi itu melibatkan 63 anggota terdiri daripada JPJ, polis, imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.