Timbalan menteri arah JPJ siasat punca nahas bas ragut 14 nyawa

Timbalan menteri arah JPJ siasat punca nahas bas ragut 14 nyawa

Aziz berkata, Miros akan mengetuai pasukan penyiasat yang turut disertai pegawai JPJ bagi menyiasat punca kemalangan maut itu.

aziz-kaprawi
KUALA LUMPUR:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah membuat pemeriksaan rapi terhadap bas ekspres serta tahap kesihatan pemandu bas terbabit dalam kemalangan mengorbankan 14 nyawa di Johor, awal pagi tadi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, JPJ juga diarah bekerjasama dengan polis trafik dan pengendali Lebuhraya Utara Selatan bagi menyiasat punca kemalangan tersebut.

Di Jelebu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengetuai pasukan penyiasat yang turut disertai pegawai JPJ.

Menurutnya, siasatan terperinci melibatkan aspek teknikal akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 14 orang, termasuk pemandu itu.

“Polis masih buat siasatan, (manakala) JPJ dan Miros di mana Miros akan mengetuai siasatan dari segi teknikal…kita akan lihat apakah kesalahan dan kelemahan yang ada pada bas itu.

“Kita tunggulah laporan terperinci nanti. JPJ akan hantar pegawai untuk melihat dari segi dokumentasi, lesen memandu dan sebagainya,” katanya selepas program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dirasmikan Adun Klawang, Datuk Yunus Rahmat hari ini.

Mengulas lanjut, Nadzri berkata, pihaknya juga akan melihat apakah bentuk tindakan yang akan diambil terhadap syarikat bas berkenaan, selepas laporan penuh kemalangan disiapkan.

“Kita tunggu laporan penuh daripada polis (dahulu), tapi Miros akan hantar pasukan penyiasatnya dan Miros ini profesional…dia tahu cari sebab teknikal kemalangan,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira 3.30 pagi itu, 14 maut manakala 16 lagi cedera apabila bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu terjunam ke dalam cerun sedalam 10m di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.

Daripada 16 yang cedera, 6 adalah warga Singapura dan 2 warga Myanmar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nadzri berkata, tiada maaf bagi pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas sepanjang ‘Op Jalan’ bermula hari ini hingga 26 Disember dan 30 Disember hingga 2 Januari 2017 sempena perayaan Krismas serta sambutan Tahun Baru.

Beliau berkata, pemandu yang melakukan kesalahan seperti memotong di garisan berkembar; melanggar lampu isyarat merah; tidak memakai tali pinggang keledar; menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong secara berbahaya akan dikompaun maksimum RM300 serta-merta.

“Lebih 3,000 anggota terlibat dalam operasi ini yang mana tumpuan kita kali ini selain daripada kawasan sesak dan berisiko kemalangan, kita juga akan membuat rondaan sekerap mungkin.

“Cara meletakkan anggota secara statik di kawasan tumpuan kemalangan agak kurang berkesan dan dengan melakukan rondaan, nampaknya ianya lebih berkesan,” katanya.

Mengenai pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan kecemasan, beliau berkata, mereka tidak akan diberikan kompaun sebaliknya terus didakwa di mahkamah.

Katanya, sehingga November lalu, sebanyak 7,963 kes direkodkan atas kesalahan menggunakan laluan kecemasan dan daripada jumlah itu, 30% atau 2,388 pesalah didakwa di mahkamah, termasuk warganegara asing.

Bas dipandu laju, ‘terbang’ junam cerun, kata saksi

14 maut, 16 cedera dalam kemalangan bas ekspres

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.