Persatuan pengguna selar SPAD lembap wajibkan alat had laju

Persatuan pengguna selar SPAD lembap wajibkan alat had laju

Amarjit menggesa menteri pengangkutan bertindak segera bagi memastikan setiap kenderaan awam dipasang alat pengehad kelajuan dan "tidak perlu tunggu sehingga 2020".

Maconas
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pengguna hari ini menyelar kegagalan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mewajibkan pemasangan alat pengehad kelajuan pada kenderaan awam dan memberi amaran penangguhan itu akan menyebabkan lebih banyak nyawa melayang di jalan raya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, alat itu mampu mencegah kemalangan bas di Johor yang meragut 14 nyawa, termasuk pemandu bas terbabit.

“Apa yang SPAD buat? Ada perbincangan dan hanya rundingan, tetapi pelaksanaan nampaknya tidak dilakukan serta-merta.

“Cukup sudah. Adakah kita masih mahu melihat lebih banyak nyawa hilang disebabkan kegagalan tidak melaksanakan langkah keselamatan seperti itu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut polis, bas dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu dipandu laju sebelum kemalangan berlaku.

Amarjit menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bertindak segera bagi memastikan setiap kenderaan awam dipasang alat pengehad kelajuan dan “tidak perlu tunggu sehingga 2020”.

Pada 17 Julai lalu, Liow mengumumkan semua bas ekspres di negara ini wajib memasang alat khas pengehad kelajuan dalam usaha mengatasi kekerapan kemalangan membabitkan pengangkutan awam di musim perayaan.

Beliau berkata, peraturan itu dikuatkuasakan serta-merta, tetapi secara berperingkat dan peringkat awal menyaksikan semua bas baru perlu dipasang dengan alat itu tanpa sebarang pengecualian.

Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasakan penggunaan alat pengehad kelajuan terhadap kenderaan perdagangan mulai 1 Januari 2015 bagi model baru dan bagi model kenderaan ‘in-production’ dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2017.

Kemalangan bas hari ini adalah yang terburuk sejak nahas bas di Genting Highlands yang meragut 37 nyawa, 3 tahun lalu.

Dalam kejadian hari ini, seramai 16 penumpang bas ekspres itu turut cedera, termasuk 7 lelaki tempatan, 5 lelaki warga Singapura, seorang wanita Singapura, 2 lelaki Myanmar dan seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya.

Empat belas mangsa terdiri daripada 12 warga tempatan (4 lelaki dan 8 perempuan) serta 2 wanita warga Singapura terbunuh, selepas bas ekspres itu terjunam ke cerun sedalam 10m di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.

SPAD menggantung lesen syarikat bas terbabit, Goldstar Express, sementara menunggu siasatan selesai.

PAUTAN:

SPAD gantung lesen syarikat bas ekspres ragut 14 nyawa

Bas dipandu laju, ‘terbang’ junam cerun, kata saksi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.