
Selama 3 jam Baim mendengar dengan khusyuk, menterjemahkan kata-kata si mangsa ke atas kertas yang akan digunakan polis untuk menangkap perogolnya.
Baim Zakaria seorang pelukis, dan beliau melakar wajah penjenayah.
“Gadis itu dirogol seorang lelaki yang dia temui 2 kali sebelum itu,” katanya dalam satu temubual bersama FMT. “Keluarganya membuat laporan polis selepas dia melahirkan anak.”
Menurut Baim, mangsa baru sahaja selesai menduduki SPM dan meminta bantuannya untuk mengenal pasti wajah pelaku. “Dia beritahu polis dia pernah nampak penyerangnya tetapi tak pasti akan identiti lelaki itu.”
Baim melukis portret berdasarkan keterangan mangsa serta raut muka si bayi, yang tidak menyerupai ibunya.
“Dia mengesahkan lelaki dalam portret itu perogolnya,” kata Baim.
Oleh kerana tugasnya berakhir sebaik sahaja menyerahkan lakaran kepada polis, Baim tidak tahu penghujung kes itu.
Itu bukan kali pertama bakat Baim digunakan untuk membantu polis. Beliau terus membantu polis untuk lebih 20 kes lagi.
Pada 2009, beliau membantu satu lagi kes yang menyayat hati. Seorang wanita yang diculik 3 lelaki berjaya melarikan diri. Dia cuba membantu polis mengenal pasti penculiknya menggunakan perisian tetapi tidak berjaya.
Menurut Baim, wanita itu ingat wajah penculiknya dengan jelas tetapi perisian ketika itu tidak dapat menghasilkan imej yang menepati gambarannya. Jadi polis menggunakan khidmatnya.
Lakarannya lebih tepat berbanding perisian komputer, kata Baim.
“Walaupun saya sekadar melakar portret, mendengar pengalaman wanita itu meninggalkan kesan yang mendalam,” katanya.
Beliau akui sukar untuk mendengar kisah perit mangsa tetapi Baim berbangga dapat membantu polis menumpaskan penjenayah.
Baim merupakan lulusan ijazah kejuruteraan elektrik daripada Universiti Teknologi Malaysia pada 1987. Bagaimanapun, seni merupakan cinta pertamanya lalu beliau mengambil keputusan menjadikan ia kerjaya hidup.
“Bapa saya mahu saya belajar kejuruteraan elektrik kerana beliau percaya artis susah cari makan,” katanya.
Pandangan bapanya bagaimanapun meleset. Seni menampung hidupnya sejak 30 tahun lalu. Beliau dibayar untuk setiap lakaran, tetapi Baim tak mahu mengulas lanjut.
Kemajuan teknologi bermakna khidmat pelukis jarang diperlukan, tetapi Baim percaya bakat sepertinya masih ada peranan.
“Tak dinafikan teknologi boleh membantu, tetapi pelukis lebih tepat kerana kita boleh lukis air muka, yang tidak boleh dilakukan komputer.”
Baim, kini berusia 50 tahun, menjalankan sebuah gerai lukisan di Pasar Seni.