Kayamboo bukti pengorbanan dihargai tanpa mengira kaum, kata menteri

Kayamboo bukti pengorbanan dihargai tanpa mengira kaum, kata menteri

Menteri pertahanan menganggap tragedi menimpa pasukan keselamatan negara merupakan ujian yang harus dijadikan iktibar.

hishamuddin-nahas
GEORGE TOWN:
Pengorbanan setiap anggota keselamatan yang terlibat dalam nahas atau tragedi semasa mempertahankan negara sentiasa dihargai dan kebajikan mereka dibela tanpa mengira pangkat, darjat atau kaum.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata nahas tidak memilih warna kulit, latar belakang kedudukan mahupun pegangan agama seseorang anggota.

“Ada masa dan ketika kita kena rapatkan barisan dan ketepikan pertimbangan lain yang sempit dan lihat kepada mereka yang berkorban jiwa dan raga untuk tanah air kita yang tercinta.

“(Sehubungan itu) selagi saya diamanahkan untuk memimpin Mindef (Kementerian Pertahanan) dalam hal yang berhubung kait dengan keselamatan dan pertahanan negara, percayalah kita tidak bezakan warna kulit agama, kedudukan, darjat keluarga anggota,” katanya kepada pemberita di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Beliau meluangkan masa melawat 2 daripada pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Kapten Wai Lik dan Sarjan Udara Mohd Sofi Azizan yang dirawat di HPP selepas cedera dalam nahas pesawat Beechcraft B-200T milik TUDM di Pangkalan Udara Butterworth petang Rabu.

Hishammuddin berkata setiap nahas atau tragedi menimpa pasukan keselamatan negara merupakan ujian dan dugaan yang mempunyai hikmah dan harus dijadikan iktibar untuk menyedarkan kita agar tidak menumpukan kepada isu berkait dengan kebencian dan perpecahan semata-mata.

Beliau berkata aspek kebajikan anggota keselamatan merupakan satu daripada agenda terpenting pihaknya dan ia termaktub dalam Program Hala Tuju Mindef tahun hadapan.

Katanya adalah menyedihkan sekiranya kita hanya sedar akan kepentingan kesatuan dan perpaduan hanya ketika berhadapan dengan sesuatu nahas dan tragedi.

Dalam kejadian petang Rabu lepas, pesawat yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang itu terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth dekat sini.

Kejadian pada 5.18 petang itu mengorbankan juruterbang TUDM Mejar C. Kayamboo, 45, manakala 3 anggota lain cedera termasuk Wai Lik, 26, dan Mohd Sofi, 29, manakala seorang lagi Left Hamdi Ahmad Hanafi, 26, dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju.

Difahamkan setiap anggota cedera menerima sumbangan RM10,000 setiap seorang dan kebajikan anak-anak anggota terlibat akan dibantu terutama dalam menyediakan kelengkapan persekolahan menjelang sesi persekolahan tidak lama lagi.

PAUTAN: 

Juruterbang maut, pesawat TUDM terhempas di Butterworth

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.