Ulama PAS tidak tolak bentuk kerajaan campuran dengan BN

Ulama PAS tidak tolak bentuk kerajaan campuran dengan BN

PAS bagaimanapun tidak akan membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan Amanah kerana ia merupakan keputusan muktamad parti.

mahfodz_srk_6001
PETALING JAYA:
Dewan Ulama PAS tidak menolak kemungkinan akan membentuk kerajaan campuran dengan mana-mana parti lain termasuk Barisan Nasional, asalkan parti Islam itu dihormati.

“Sekarang ini PAS bersendirian dan PAS hanya dengan Ikatan dalam blok ketiga pembangkang, jadi kalau keputusan pilihan raya umum nanti gabungan itu yang menguntungkan PAS, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan parti lain,” kata ketua sayap tersebut, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, kepada FMT.

PAS kini mengadakan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, di bawah apa yang dikenali Gagasan Sejahtera.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki baru-baru ini berkata parti itu bersedia membentuk gabungan dengan mana-mana pakatan politik selepas pilihan raya umum akan datang untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Katanya, PAS yakin memainkan peranan itu memandangkan negara sedang menuju ke arah sistem kerajaan campuran (multi-party system), di mana tiada gabungan yang mampu membentuk kerajaan kukuh secara bersendirian.

Mahfodz bagaimanapun mengulangi pendirian pemimpin PAS untuk tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, yang kini mempunyai kerjasama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Kita tetap dengan pendirian sebelum ini gabungan dengan parti dalam Pakatan Harapan kita sudah tolak awal-awal DAP dan Amanah, tetapi dengan parti-parti lain yang menghormati PAS, kita masih sedia,” katanya.

Sebaliknya, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menegaskan parti itu masih berada di pihak pembangkang dan tidak akan bekerjasama dengan Umno bagi mewujudkan kerajaan campuran selepas PRU14.

“Saya menolak dakwaan mengenai kerjasama tersebut, memandangkan PAS kini komited bersama Gagasan Sejahtera untuk menumbangkan Umno dan BN pada PRU14,” katanya.

Zuhdi: PAS sedia bergabung tubuh kerajaan campuran selepas PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.