
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajarnya, Bibi Asma Sher Mohamad berkata dakwaan itu berniat jahat malah diburukkan lagi apabila mengaitkan waris pegawai atasan Mediu dengan kumpulan militan IS.
Beliau berkata maklumat yang memetik sumber tanpa nama seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris itu dilihat langsung tidak berasas kerana ia tidak disertakan bukti kukuh.
“Tuduhan dan dakwaan seperti ini kalau dibiarkan boleh membahayakan kerana berniat buruk terhadap kami sedangkan ia tidak berasas… buat dakwaan memetik sumber tanpa nama namun jika tahu siapa antara kami ada terlibat (dalam militan IS), kenapa tidak dinyatakan namanya?
“Jika benar ada bukti, senanglah kami hendak bermesyuarat dan bersoal jawab secara dalaman dengan kakitangan untuk siasat perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Luar Mediu Datuk Dr Ab Ghani Mohamad sekali lagi menegaskan tiada silibus atau ajaran sesat diajar pensyarah di institusi swasta berkenaan termasuk fahaman Wahabi seperti yang dilaporkan akhbar tersebut.
Katanya, jika benar wujud penularan fahaman IS dalam kalangan penuntut di negara ini, kumpulan militan itu pasti menyasarkan beberapa lagi universiti lain yang mempunyai penuntut antarabangsa, bukan hanya tertumpu pada Mediu.
“Banyak universiti lain ada penuntut antarabangsa, kenapa sentiasa sasarkan Mediu? Silibus di sini tidak mengajar fahaman bertentangan dengan undang-undang negara,” katanya.
Ghani berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung pelbagai isu hari ini dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan kelak.
Pada Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata 7 lelaki termasuk 4 warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan ditahan di beberapa lokasi dalam negara antara 3 November hingga 16 Disember lepas.
Katanya, semua yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi di sekitar Johor, Sabah, Melaka dan Selangor itu berumur antara 20 hingga 35 tahun dan 2 daripadanya penuntut Mediu.
Bagaimanapun semalam, Mediu menegaskan penahanan 2 penuntut antarabangsanya itu yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan, bukan hasil pengajaran dan pembelajaran di institusi swasta berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, seperti dilaporkan portal akhbar itu hari ini, mengesahkan Mediu bukan “sarang” kumpulan militan sebaliknya hanya berlaku cubaan untuk merekrut penuntutnya menyertai kegiatan keganasan.