Henti spekulasi nahas pesawat, kata TUDM

Henti spekulasi nahas pesawat, kata TUDM

Dakwaan pesawat TUDM yang terhempas kerana mengelak gudang tentera hanya ‘andaian’ dan perlu menunggu siasatan selesai.

tudm
GEORGE TOWN:
Berita juruterbang pesawat tentera udara yang terhempas bertindak mengelak daripada terjatuh di atas gudang peluru sebagaimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia hari ini tidak benar, kata Panglima Bantuan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab.

Beliau berkata laporan itu hanya “andaian” dan menggesa semua pihak berhenti membuat spekulasi.

“Saya ingin mengulangi apa yang Kementerian Pertahanan kata setakat ini, kami sedang menyiasat kemalangan itu dan sehingga keputusan diumumkan, kita tidak boleh mengatakan apa-apa.

“Laporan ini (dibuat Utusan Malaysia) adalah andaian semata-mata,” kata Mutalib ketika diminta mengulas mengenai perkara itu hari ini.

Terdahulu, Mutalib memberi penghormatan terakhir kepada juruterbang terbunuh Kayamboo Chellam, 44, di kawasan perkuburan Hindu Batu Lanchang hari ini.

Hari ini, muka depan Utusan Malaysia menyiarkan tajuk “Elak gudang peluru”, kenyataan daripada seorang pegawai TUDM tidak dapat dikenalpasti sebagai berkata pesawat terhempas di Pangkalan Udara Butterworth berkemungkinan jatuh ke atas gudang peluru.

Juruterbang terbunuh, Kayamboo Chellam, 44, diberi kredit sumber tidak dinamakan itu sebagai penyelamat kerana beliau mengelakkan gudang berkenaan.

“Juruterbang pesawat Beechcraft B200 T yang terhempas dan dipandu Kayamboo dipercayai mengawal pesawat daripada mendarat di atas Gudang Peluru 2, Markas Udara TUDM Butterworth,” lapor akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Kayamboo meninggal dunia selepas pesawat turboprop dipandunya terhempas di luar pangkalan udara TUDM Butterworth di sini.

Semalam juga merupakan hari ulang tahun kelahirannya.

Kayamboo meninggalkan isteri yang juga jururawat klinik kerajaan S Usha, 42, dan 4 anak (2 lelaki dan 2 perempuan), berusia di antara 2 hingga 13 tahun.

Kayamboo bertugas di Maktab Tentera Udara Alor Star, Kedah.

Dalam kejadian 5.18 petang itu, Kayamboo dan 3 yang lain dalam misi latihan dari Subang, Selangor ke Butterworth. Mereka sepatutnya kembali ke pangkalan udara Subang selepas menamatkan perjalanan.

Tiga yang terselamat dalam kejadian cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Pihak berkuasa tentera kini cuba menentukan punca nahas.

Pesawat terhempas: Juruterbang TUDM diberi penghormatan wira

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.