
Timbalan Ketua Eksekutif Jabatan Hal Ehwal Luar, Datuk Abdul Ghani Mohamad berkata silibus Mediu disemak oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Ahli panel penilaian dilantik oleh pihak MQA daripada kalangan pakar bidang tertentu daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang dikenalpasti oleh agensi berkenaan.
Proses pemilihan panel ditentukan oleh MQA yang dipertanggungjawabkan untuk menyemak kurikulum sebelum kelulusan dikeluarkan.
“Ahli panel hadir ke universiti dan menyemak silibus daripada awal hingga akhir secara terperinci. Ia merupakan satu proses yang panjang dan berperingkat. Kami benar-benar yakin terhadap kredibiliti ahli panel MQA dan diiktiraf oleh kementerian,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT, di kampus utama Mediu.
Menurutnya lagi, secara keseluruhan tahap kualiti 118 program di Mediu dinilai oleh MQA sejak 2008 sehingga Oktober 2016. Sebanyak 72 program sudah melepasi proses penilaian dan memperoleh pengakreditasian penuh.
“Malah, 70 program di Mediu mendapat akreditasi penuh MQA dan didaftarkan dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR),” kata Mediu dalam satu kenyataan semalam.
Beliau juga menegaskan laporan media yang mendakwa Mediu menawarkan kandungan silibus yang radikal seperti menghalalkan darah golongan yang tidak sependapat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah tidak benar.
Semalam, Mediu menafikan kononnya pengiktirafan kursus yang ditawarkan di Mediu ditarik balik oleh MQA.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dalam kenyataan 16 Disember lepas. ”Universiti Antarabangsa Al-Madinah boleh beroperasi seperti biasa seperti yang diiktiraf MQA.”
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Prof Rujhan Mustafa turut mengesahkan perkara itu. “Perkataan ‘universiti kebencian’ dan ‘halalkan darah’ merupakan perkataan yang dipilih dan digunakan sendiri oleh akhbar tabloid berkenaan,” kata MQA dalam satu kenyataan pada hari yang sama.
“Ada individu yang cuba merosakkan nama baik universiti tanpa datang berjumpa dengan kita,” kata Abdul Ghani kepada FMT.
Ghani menjelaskan kandungan silibus kurikulum Mediu dipertikaikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Namun begitu, perbincangan antara pihak berkuasa agama negeri dan universiti masih berterusan sehingga kini sejak 2013.
“Pihak Mais bukanlah agensi yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil pengiktirafan untuk sesebuah universiti memperolehi kelulusan beroperasi,” kata Ghani.
Jelasnya, pengiktirafan yang diperlukan menurut perlaksanaan universiti awam dan swasta tertakluk kepada pengiktirafan yang dikeluarkan oleh badan tadbir urus yang sah iaitu KPT dan MQA.
Dalam konteks ini, tambah Ghani, Mediu secara sah memperolehi pengiktirafan kedua-dua badan berkenaan, manakala Mais dirujuk berkaitan silibus pengajian Islam.
“Mais cuma memberikan komen kepada sesetengah perkara tetapi kita sudah ambil maklum dan sedang menghalusinya,” kata Ghani. Sebanyak 2 perbincangan sudah diadakan dan yang terakhir adalah pada 21 November tahun ini.
“Tohmahan kita menyebarkan ajaran Wahabi juga adalah tidak benar. Mata pelajaran kita boleh diakses secara terbuka di laman web, kita tidak berselindung,” katanya.
Baru-baru ini, 2 pelajar antarabangsa Mediu ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan.
Mengulas perkembangan itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Bibi Asma’ Sher Mohamad berkata pihak universiti sangat memandang serius perkara ini sekiranya mana-mana pelajar melanggar undang-undang dan jika didapati bersalah mereka akan dikenakan tindakan keras berdasarkan polisi sedia ada.
“Setakat ini perkara ini masih di bawah siasatan pihak berkuasa. Kerjasama penuh akan diberikan oleh pihak universiti. Pihak polis mengesahkan bahawa pelajar berkenaan telah dibenarkan pulang ke negara masing-masing,” kata Bibi.
Ghani menambah Mediu sedia bekerjasama dengan siasatan pihak berkuasa atau mana-mana pihak yang inginkan penjelasan mendalam.
“Kita sentiasa bersikap terbuka dan polis berhak melakukan siasatan berhubung isu ini. Pihak berwajib setakat ini tidak pernah menyatakan Mediu adalah tempat penyebaran IS,” katanya.