
Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berkata bahan itu tidak berbahaya sekiranya pengeluar makanan, penyedia dan pengguna mengendalikan produk dengan cara yang betul.
“Tidak timbul masalah sekiranya cara penggunaan dilakukan dengan betul,” kata Yusof kepada FMT. “Sepatutnya perlu ada label menunjukkan cara yang sesuai menggunakannya.”
Beliau mengulas laporan media berhubung penggunaan cecair nitrogen dalam makanan didakwa menyebabkan kecederaan pada tangan seorang remaja selepas memakan biskut “Dragon Breath”.
Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penggunaan bahan pembeku itu dalam makanan diharamkan bagi melindungi pengguna, terutamanya kanak-kanak.
Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hassim berkata bendalir kriogenik boleh menyebabkan kelecuran jika tidak dikendalikan dengan betul.
Cecair nitrogen terbentuk apabila gas nitrogen disejukkan ke suhu serendah -196°C sehingga menjadi cecair.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata pengeluar dan penyedia makanan perlu memastikan cecair itu meruap sepenuhnya sebelum dijual bagi mengelakkan kelecuran atau radang dingin (frostbite).
Fomca berkata label itu perlu menunjukkan cara mengendalikan produk yang mengandungi cecair nitrogen.
“Lebih baik jika jurujual makanan itu dapat menunjukkan cara penggunaan dengan betul. Jadi ini tidak akan mendatangkan bahaya kepada pengguna,” katanya.