
Bapa saudara mangsa, A Bijeikumaran, 58, memberitahu pemberita di luar bilik mayat Hospital Seberang Jaya bahawa Mejar C Kayamboo dilahirkan pada 21 Disember.
Bijeikumaran tidak ingat bila Kayamboo mula berkhidmat dengan tentera udara.

Bijeikumaran (kanan) memuji keperibadian anak saudaranya itu.
“Saya rasa sudah 15 tahun dia bersama tentera udara.
“Dia sertai misi ke luar negara. Berpangkalan di Alor Star.
“Tetapi dia sebenarnya anak jati Pulau Pinang. Baik orangnya. Mesra dengan semua orang.”
Bijeikumaran menambah Kayamboo meninggalkan seorang isteri, yang bekerja sebagai jururawat klinik kerajaan di Pulau Pinang, 4 orang anak berusia 2 hingga 13 tahun, dan ibu bapanya.
Pesawat Beechcraft B200T, membawa 4 anggota tentera udara, termasuk Kayamboo, terhempas berhampiran Terminal Peluru pada 5.18pm.
Tiga anggota lain cedera dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan. Setakat ini belum diketahui tahap kecederaan yang mereka alami.
Tentera udara menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat nahas itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Kayamboo.
“Terima laporan tragedi nahas pesawat @airforcenextgen (Twitter rasmi TUDM), sedih ketahui ada kemalangan jiwa. Takziah kepada keluarga, siasatan terperinci akan dilakukan,” kata perdana menteri di Twitter.