Nazri: Daim nostalgia pemerintahan diktator Dr M

Nazri: Daim nostalgia pemerintahan diktator Dr M

Menteri itu menolak cadangan pembentukan kumpulan ekonomi baharu untuk membaiki ekonomi, kerana ia tidak ditubuhkan ketika ekonomi meleset di zamannya

nazri-aziz_Daim-Zainuddin_600
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mencemuh kenyataan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin sebagai kenyataan seseorang yang nostalgia terhadap zaman diktator Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nazri merujuk kepada pendapat Daim yang disiarkan The Edge awal bulan ini.

Daim antara lain berkata kerajaan perlu menangani ketidakyakinan rakyat dan mengikis pemikiran feudal, terutamanya dalam kalangan penguasa. Beliau menyarankan pembentukan kumpulan ekonomi baharu untuk membaiki ekonomi.

Menyeru kepada reformasi, termasuk pindaan undang-undang bagi menjamin kebebasan badan kehakiman dan keselamatan, Daim menggesa kerajaan supaya bertolak ansur dengan suara bangkangan dan perbezaan pendapat serta ideologi.

“Mungkin Daim sedikit nostalgia pada zaman dia menjadi menteri kewangan di bawah pemerintahan diktator Tun Mahathir.

“Kita (di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) sangat terbuka. Ada keterbukaan sekarang ini, berbanding pada zaman itu. Pada zaman itu orang takut nak bersuara,” kata ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu.

“Tun Mahathir seorang diktator seperti Robert Mugabe (Presiden Zimbabwe),” tambahnya.

Nazri menepis cadangan menubuhkan kumpulan ekonomi baharu, kerana negara pernah berdepan kemelesetan ekonomi ketika Dain menjadi menteri kewangan.

“Tak perlu. Ekonomi negara meleset ketika dia jadi menteri kewangan tetapi ada jawatankuasa ditubuhkan. Kita tanganinya dengan cara kita.

“Jawatankuasa khas tidak perlu ditubuhkan, kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menanganinya,” kata Nazri, yang menambah negara lain juga menghadapi masalah sama.

“Ini fenomena dunia. Semua orang berdepan isu ekonomi. Beri peluang kepada kerajaan untuk selesaikan masalah ini.”

Nazri mengalu-alukan Daim sekiranya beliau mahu membantu.

“Dia boleh bantu kalau dia mahu dalam apa sahaja cara. Tetapi bagi saya, ini tanggungjawab kerajaan.”

Masalah negara tak selesai selagi keyakinan rakyat merosot, kata Daim

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.