MRT: Najib boleh saman saya kalau fitnah, kata Rafizi

MRT: Najib boleh saman saya kalau fitnah, kata Rafizi

Rafizi berkata, hakikatnya penjimatan tidak berlaku, sebaliknya keseluruhan kos projek pembinaan MRT meningkat 2 kali ganda.

Rafizi-Ramli_mrt_600
KUALA LUMPUR:
Rafizi Ramli mencabar perdana menteri menyamannya, jika dakwaan mengenai kos keseluruhan projek Mass Rapid Transit (MRT) akan melebihi RM100 bilion adalah fitnah.

Ahli Parlimen Pandan itu memberi tempoh 7 hari kepada Datuk Seri Najib Razak berbuat demikian atau perdana menteri perlu memohon maaf kepada rakyat kerana mengelirukan mereka.

“Jika saya kata kos seluruh projek MRT akan cecah RM100 bilion adalah fitnah, MRT Corp, Najib dan seluruh jemaah menteri boleh saman saya. Kita boleh tengok bagaimana beliau terangkan kos tidak akan mencecah RM100 bilion.

“Beliau mengelirukan rakyat dengan berkata kerajaan jimat RM2 bilion bagi fasa pertama, tetapi tidak berterus-terang dengan kos keseluruhan projek yang dahulunya beliau kata RM40 bilion sahaja,” katanya pada sidang media di Invoke Malaysia, hari ini.

MRT Corp sebelum ini menafikan dakwaan Rafizi kononnya fasa pertama MRT1 Laluan Sungai Buloh-Kajang menelan belanja RM21 bilion, sebaliknya jumlah itu termasuk fasa kedua yang akan beroperasi pada Julai 2017.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut menafikan dakwaan Rafizi yang kos MRT adalah RM1 bilion untuk setiap km, sebaliknya beliau mempertahankan MRT Corp dengan berkata kos bagi kedua-dua fasa MRT1 berjumlah RM21 bilion.

Rafizi berkata, MRT Corp dan kerajaan persekutuan hanya bercakap mengenai MRT1 “secara berhati-hati”, sedangkan isu berbangkit ialah kenaikan kos untuk keseluruhan projek.

“Sehingga sekarang, perdana menteri atau mana-mana menterinya berdiam diri tentang kos projek MRT sepanjang 150km. MRT Corp secara berhati-hati hanya menyebut tentang MRT1.

“Soalan saya bukanlah tentang 51km (MRT1) itu, tetapi keseluruhan 150km yang menurut Najib pada 2010 hanya berharga RM40 bilion.

“Jadi, bagaimana RM40 bilion boleh meningkat menjadi RM100 bilion. Dan mereka kekal membisu dalam isu ini,” kata naib presiden PKR itu.

Najib ketika mengumumkan projek MRT pada Belanjawan 2011 berkata, projek itu dijangka bermula pada 2011 dengan jangkaan pelaburan swasta berjumlah RM40 bilion.

Kenyataan yang dikeluarkan MRT sebelum ini menyatakan MRT1 akan menelan belanja RM21 bilion, MRT2 (Sungai Buloh-Putrajaya) RM32 bilion dan MRT3 (jajaran bawah tanah “circle line”) sekurang-kurangnya RM50 bilion.

“Kenapa Najib masih berkeras menafikanya dan menuduh saya fitnah. Hakikatnya, penjimatan tidak berlaku kerana keseluruhan kos sudah meningkat 2 kali ganda,” katanya.

Operasi fasa 1 MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dilancarkan Jumaat lalu, manakala fasa 2 MRT Laluan Semantan-Kajang membabitkan terowong bawah tanah akan dibuka pada 31 Julai 2017.

Kedua-dua fasa itu ialah sebahagian daripada projek MRT sepanjang 51km dengan 31 stesen.

Rafizi yakin kos MRT cecah RM100 bilion

Semak fakta anda, Rahman Dahlan beritahu Rafizi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.