
Jakarta Post melaporkan kira-kira 50 ahli FPI membuat serbuan di 7 pusat beli-belah di Surabaya untuk membuat pemeriksaan sama ada pekerja di situ memakai pakaian atau kelengkapan berkaitan Krismas ketika bekerja, atau tidak.
Bagi tujuan promosi menjelang sambutan Krismas, pihak pengurusan syarikat terutama pusat beli-belah biasanya mengarahkan kakitangannya memakai topi Santa ketika melayan pelanggan.
Pada minggu lalu Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat mengeluarkan fatwa terbaru berkaitan penggunaan kelengkapan keagamaan bukan Islam bagi umat Islam.
Dalam fatwanya, MUI menyatakan menggunakan, mengajak dan memerintah penggunaan atribut agama lain (selain Islam) adalah haram.
Jakarta Post melaporkan, Ketua Operasi Toeng Market di Surabaya, Wahyu Kuncoro berkata beliau akan mematuhi fatwa MUI itu yang mengharamkan orang Islam memakai pakaian Krismas termasuk seperti topi Santa.
“Kami akan sampaikan pesanan ini ke peringkat atasan. Kami minta maaf kerana tidak sedar mengenai larangan itu sebelum ini. Kami akan ikut dan patuhi fatwa MUI,” katanya selepas dikunjungi wakil FPI di pejabatnya.
Ahli FPI bertemu dengan pengurus bertugas di pusat beli-belah untuk memaklumkan supaya jangan memaksa pekerja mereka yang beragama Islam memakai kelengkapan pakaian Krismas.
Wakil rasmi FPI Ali Fahmi berkata pengurusan Toeng Market sudah menandatangani perjanjian itu, lapor Jakarta Post.
Ali berkata 2 perkara dipersetujui iaitu pengurus tidak boleh mengarahkan pekerja beragama Islam memakai sebarang kelengkapan atau pakaian Krismas dan syarikat tidak boleh memaksa, menakut-nakutkan atau memberi ganjaran kepada kakitangan, berkaitan perkara itu.
Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Nahdlatul Ulama Surabaya, Ahmad Muhibin Zuhri berkata fatwa MUI bertujuan mengukuhkan toleransi dalam kalangan rakyat berbeza agama.
“Toleransi ialah memberi ruang kepada setiap pengikut agama beribadat mengikut kepercayaan masing-masing,” katanya dipetik daripada Jakarta Post.
Ketua Polis Surabaya M. Iqbal yang mengiringi FPI ke pusat beli-belah itu berkata polis turut serta bersama FPI bagi memastikan lawatan itu tidak menyebabkan kacau ganggu di tempat awam.