
Pengurus Hubungan Luar IDEAS Azrul Mohd Khalib berkata dasar berterusan itu akan menyekat syarikat Bumiputera bersaing dan ia tidak membawa kebaikan untuk jangka masa panjang.
“Kita akan terlepas peluang menjadikan sesuatu projek itu lebih kompetitif, telus dengan kualiti terbaik,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan mengenai peningkatan kawalan ekuiti Bumiputera dalam perniagaan.
Ahmad dilaporkan berkata kementeriannya menyasarkan peruntukan kepada syarikat Bumiputera sekurang-kurangnya 50% daripada nilai kontrak berskala besar daripada kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
Azrul berkata rakyat Malaysia perlu berhenti melihat persaingan sebagai sesuatu yang perlu ditakuti.
Memetik kajian PricewaterhouseCoopers mengenai kesan potensi ekonomi Perjanjian Perkongsian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) terhadap ekonomi Malaysia, beliau berkata ada kontraktor Bumiputera dan usahawan industri kecil dan sederhana yang boleh bersaing dengan syarikat asing.
Katanya, pendekatan lebih kompetitif akan melengkapkan komitmen kerajaan terhadap perubahan ekonomi menerusi program liberalisasi dan transformasi.
Bekas presiden Pertubuhan Jurubina Malaysia, Matthew Tee berkata kuota itu akan menyebabkan kos lebih tinggi kerana kurangnya persaingan.
“Ia juga akan hanya menguntungkan sekumpulan syarikat Bumiputera tertentu saja, bukan keseluruhan masyarakat Bumiputera,” katanya.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi Lee Heng Guie berkata jika kerajaan mahu meneruskan penetapan kuota seperti itu, ia perlu memastikan yang kompetensi dan kecekapan akan tercapai tanpa kompromi.
“Bagi memastikan sumber terhad awam digunakan secara cekap, kontraktor perlu tertakluk di bawah pembidaan kompetitif secara menyeluruh dan melalui proses penilaian supaya hanya kontraktor paling layak yang terpilih,” katanya.