Petronas akan umum kuantum pengurangan pengeluaran bagi 2017

Petronas akan umum kuantum pengurangan pengeluaran bagi 2017

Malaysia dan pengeluar minyak bukan kartel bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sehingga 558,000 bpd bagi tempoh 6 bulan

rahman-dahlan-petronas
KUALA LUMPUR:
Petronas akan mengumumkan kuantum pengeluaran minyak mentah 2017 Malaysia seperti yang dipersetujui pada mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan pengeluar bukan Opec di Vienna, Austria, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Mesyuarat tersebut bersetuju pengeluar bukan Opec akan mengurangkan sehingga 558,000 tong sehari (bpd) bagi tempoh 6 bulan bermula 1 Januari 2017.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan laporan ‘Malaysia Economic Monitor’ ke-15 yang diterbitkan oleh Bank Dunia, beliau berkata pengurangan pengeluaran oleh Malaysia dan anggota Opec serta bukan Opec itu bertujuan meningkatkan harga minyak mentah dengan menstabilkan bekalan minyak global, menormalkan pasaran dan mendapatkan semula keyakinan pelabur.

Menurut Index Mundi, portal data yang mengumpulkan fakta dan statistik dan menjadikan data mentah itu sebagai maklumat bermanfaat, Malaysia mengeluarkan 693,000 bpd minyak mentah pada 2015.

Abdul Rahman berkata pengurangan pengeluaran minyak Malaysia termasuk dalam jumlah keseluruhan pengurangan sebanyak 558,000 bpd, kurang daripada sasaran awal 600,000 bpd.

“Kami hadir pada mesyuarat itu untuk memberikan sokongan moral kepada anggota Opec dan bukan Opec dalam memastikan harga minyak berada pada landasan pertumbuhan mampan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.