
Datuk Liang Teck Meng berkata demikian selepas media melaporkan kerja senggaraan yang mengakibatkan gangguan bekalan air 6 hari sebelum Krismas dicapai dalam satu mesyuarat bersama 31 Oktober lepas.
“Dalam perkara ini, SPAN serta syarikat air seharusnya menghormati keperluan pengguna ketika menyambut musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dijangka 3.9 juta isi rumah dan perniagaan di Kuala Lumpur dan Selangor akan mengalami gangguan bekalan air mulai hari ini.
Ia susulan kerja senggaraan Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badok – yang membekalkan elektrik kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor – bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan dan gangguan yang lebih serius di masa depan.
Kerja senggaraan sepatutnya dijalankan 27 Disember lepas, tetapi TNB diminta menangguhkannya atas sebab kerja ke atas loji Langat 2, cuti sekolah dan musim peperiksaan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berkata kerajaan negeri membenarkan kerja senggaraan diteruskan selepas TNB memberi amaran ia tidak lagi boleh ditangguh.
Teck Meng dalam kenyataannya berkata syarikat air dan TNB disaran membincangkan langkah meringankan impak gangguan bekalan elektrik ke atas operasi LRA.
Antaranya termasuk penggunaan sumber bekalan elektrik kedua atau penyewaan set jana kuasa.
“Semua pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan gangguan minima terhadap perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.”