Khalid: Tepat masanya kaji undang-undang lapuk

Khalid: Tepat masanya kaji undang-undang lapuk

Khalid berkata, ada undang-undang kecil yang sudah ketinggalan zaman dan sudah sampai masanya pindaan dibuat bagi memperkemaskan lagi hukuman dikenakan.

khalid-zahid
KULAI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan cadangan mengkaji semula undang-undang lapuk bersesuaian dan tepat pada masanya, memandangkan ada di antara undang-undang berkenaan sudah ketinggalan zaman.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penuh cadangan itu dan menyerahkan kepada pihak berkaitan serta Parlimen untuk menentukan sama ada sudah sampai masanya undang-undang itu dipinda.

“Saya serahkan kepada Parlimen. Kalau Parlimen berpendapat undang-undang itu patut dipinda. Pada pandangan saya memang patut dipinda pun kerana ada undang-undang kecil kita ini sudah ketinggalan zaman.

“Undang-undang kecil ini dibuat sebelum merdeka lagi, jadi saya rasa ada antaranya sudah sampai masanya untuk kita buat pindaan, memperkemaskan lagi hukuman dan sebagainya,” katanya selepas menutup Persidangan Polis Bantuan Malaysia ke-28 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 2 hari lalu mengenai kajian semula semua perundangan sedia ada membabitkan undang-undang di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan ia bersifat futuristik dan tidak lagi lapuk.

Ahmad Zahid berkata, kajian semula itu perlu dibuat bagi mengenal pasti undang-undang lapuk dan tidak lagi sesuai digunakan ketika ini serta memastikan perundangan yang dipinda sesuai diguna pakai dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Ia susulan hukuman RM100 yang djatuhkan mahkamah terhadap seorang individu menandatangani kertas saman dengan perkataan “babi” yang dianggap tidak setimpal dengan kesalahan menghina anggota polis.

Hukuman itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) adalah denda maksimum.

Sementara itu, Khalid berkata, daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedang disiasat menggunakan dana meragui, 15 NGO sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Laporan interim akan diberikan kepada timbalan perdana menteri tidak lama lagi,” katanya.

Menurut laporan berita, kira-kira 20 daripada 50,000 NGO yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) disiasat sejak November kerana disyaki menerima dana diragui daripada individu serta organisasi luar negara.

Tulis ‘babi’ atas saman: Peguam negara saran kaji hukuman lebih sesuai

Zahid arah KDN kaji semula undang-undang lapuk

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.