Gangguan air: Kerja senggaraan tak lagi boleh ditangguh

Gangguan air: Kerja senggaraan tak lagi boleh ditangguh

Selangor membenarkan Tenaga Nasional Bhd menjalankan kerja senggaraan bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang serius di masa depan, kata menteri besar

Azmin-Ali
PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan kerajaan negeri ia tidak lagi boleh menangguhkan kerja senggaraan Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, kata menteri besar Selangor.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata senggaraan itu akan membawa akibat teruk sekiranya ditangguhkan.

Menurut Azmin, kerja senggaraan itu sepatutnya dibuat pada 23 September lalu.

Kerja senggaraan sebelum itu ditangguhkan ekoran kerja ke atas loji rawatan air Langat 2, cuti sekolah dan musim peperiksaan, katanya menurut laporan Sin Chew Daily.

Azmin memberitahu pemberita di Shah Alam hari ini bahawa kerajaan negeri sudah bertemu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd untuk mencari jalan memastikan gangguan bekalan air, yang bermula hari ini, tidak lebih daripada tempoh 6 hari yang ditetapkan (24 Disember).

Ini supaya ia tidak mengganggu perayaan Krismas, tambahnya.

Kenyataan Azmin menyusuli kecaman orang ramai berhubung prospek gangguan bekalan air pada hari Krismas.

Dijangka 3.9 juta isi rumah dan perniagaan di Kuala Lumpur dan Selangor akan mengalami gangguan bekalan air.

“TNB kata kerja senggaraan tidak lagi boleh ditangguh, dan ia mungkin mengambil masa sebulan untuk dibaiki (PMU),” kata Azmin.

“Maka kerajaan negeri bersetuju benarkan TNB jalankan kerja senggaraan yang perlu bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang lebih serius.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.