Polis patahkan 14 rancangan IS serang Malaysia

Polis patahkan 14 rancangan IS serang Malaysia

Fuzi berkata, sekatan dana dapat menghalang kumpulan militan daripada mempunyai kemampuan memperolehi senjata api atau bahan letupan bagi melakukan serangan.

Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun
KUALA LUMPUR:
Masih ramai tidak sedar ancaman serangan pengganas di Malaysia adalah sesuatu yang nyata dan benar.

Ini kerana pada umumnya keamanan dan keselamatan sentiasa terjamin di dalam negara, membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan seharian mereka tanpa rasa takut.

Rakyat dikejutkan dengan hakikat itu apabila serangan pertama didalangi kumpulan pengganas IS berlaku di bumi Malaysia pada 28 Jun lalu, selepas sebutir bom tangan dilontar ke sebuah pusat hiburan di Puchong yang mengakibatkan 8 individu cedera.

Namun, rakyat Malaysia kurang tahu akan tindakan awal dilakukan polis dalam menangani perkara itu yang berjaya mengekang sekurang-kurangnya 14 serangan keganasan yang dirancang IS di Malaysia, menurut seorang pegawai kanan pencegahan keganasan.

Kalangan pegawai keselamatan keberatan berkongsi butiran cubaan serangan itu susulan sensitiviti maklumat berkaitan perkara tersebut.

Tetapi, apakah kaedah digunakan pihak berkuasa dalam mengekang cubaan serangan keganasan itu?

Satu daripada caranya adalah mengekang mereka daripada memperoleh senjata atau bahan letupan dengan menyekat penyaluran dana kepada kumpulan yang mempunyai niat jahat itu.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, sekatan dana dapat menghalang kumpulan itu daripada mempunyai kemampuan memperolehi senjata api atau bahan letupan bagi melakukan serangan.

“Kita memang mengawasi dan menyekat sekiranya ada individu cuba menyalurkan dana kepada kumpulan ini, langkah lain kita tidak boleh dedahkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pertukaran risikan turut memainkan peranan penting dalam langkah memerangi keganasan untuk melindungi Malaysia daripada serangan mengerikan seperti berlaku di beberapa negara lain, contohnya Paris, Brussels dan Istanbul pada 2016.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa dengan berkongsi maklumat bagi membendung ancaman kumpulan militan itu yang aktif menyebarkan pengaruh mereka melalui media sosial.

“Kami sentiasa pantau masalah ini dan akan terus berbuat demikian…PDRM sentiasa siap siaga hadapi apa juga masalah yang berlaku,” kata Fuzi.

Menurut statistik polis, seramai 260 warga tempatan dan asing ditahan di negara ini sejak 2013 hingga sekarang kerana terbabit dalam kumpulan militan.

Keseriusan kerajaan dalam memerangi ancaman itu dapat dilihat melalui pelancaran Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF) sebagai pasukan pertama yang akan bertindak sekiranya berdepan ancaman keganasan.

NSOF yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Oktober lalu, dianggotai 17 pegawai dan 170 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Bagi berkongsi inisiatif negara dalam memerangi keganasan di kalangan negara anggota Asean dan lain, Kuala Lumpur mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) untuk mengekang penyebaran ideologi dan propaganda militan di Internet.

Malaysia juga bersedia berkongsi dengan dunia program deradikalisasi dilaksanakannya bagi pesalah terlibat dalam gerakan ekstremis, radikal dan IS yang mencapai kadar pemulihan tinggi, iaitu 97%.

PAUTAN:

Lebih mudah tangani komunis berbanding IS, kata Zahid

95% banduan keganasan pulih

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.