
Aktivis anti penculikan di selatan Filipina itu berkata, Abu Sayyaf tidak mahu menggunakan khidmat orang tengah, sebaliknya mereka memberi tekanan dan berunding sendiri dengan keluarga tebusan.
Beliau dipetik China Press sebagai berkata, tindakan itu menunjukkan Abu Sayyaf bimbang dengan tebusan yang berada dalam tangan mereka akan turut melambatkan cubaan mereka melarikan diri.
Isnin lalu, jurucakap tentera Filipina di Mindanao Barat, Mejar Filemon Tan Jr mengesahkan sekurang-kurangnya 10 militan Abu Sayyaf maut, manakala 6 lagi cedera dalam operasi balas di sebuah hutan di Patikul, Sulu, 10 Disember lalu.
Pada 18 Julai lalu, 5 anak kapal warga Malaysia diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Dent Haven, Lahad Datu.
Mereka yang diculik adalah Tayudin Anjut, 45, Abd Rahim Summas, 62, Fandy Bakran, 26, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, semua dari daerah Tawau, manakala Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Pahang.
Gustiah Sultan, isteri Tayudin berkata, keluarga semua mangsa culik kerap menerima panggilan telefon daripada Abu Sayyaf meminta wang tebusan berjumlah RM2 juta yang perlu dibayar dalam tempoh 4 hari.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, polis dalam keadaan berjaga-jaga terhadap serangan balas Abu Sayyaf selepas menembak mati seorang ketua kumpulan militan itu di Semporna, minggu lalu.
“Jika mereka mahu membalas dendam, polis sentiasa bersiap sedia,” katanya dipetik The Star hari ini.
Tiga daripada 7 suspek dipercayai penculik dari selatan Filipina mati dalam kejadian tembak-menembak dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan Pulau Gaya, Semporna, pada 8 Disember lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, dalam kejadian itu, 2 penculik turut ditahan, manakala 2 lagi penculik hilang dan seorang daripada 2 mangsa culik yang kedua-duanya merupakan juragan bot berjaya diselamatkan.
Seorang daripada suspek ditembak mati itu ialah pemimpin Abu Sayyaf, Abraham Hamid yang mengetuai penculikan beberapa warga asing di beberapa destinasi pelancongan di selatan Filipina tahun lepas.