Perlis mahu warta fatwa larang penukaran unilateral

Perlis mahu warta fatwa larang penukaran unilateral

Mufti Perlis berkata Sultan sudah memberi persetujuan untuk fatwa itu diwartakan.

Dr-asri
PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS) akan berusaha untuk mewartakan keputusan jawatankuasa fatwa negeri itu tahun lepas bagi mengharamkan penukaran unilateral kanak-kanak bawah umur kepada Islam oleh ibu atau bapa.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dipetik Sin Chew Daily berkata, Sultan Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut memberi perkenan terhadap keputusan itu.

“Baginda juga percaya apabila fatwa diwartakan, ia akan menghalang penukaran unilateral seorang kanak-kanak,” kata Asri sambil menambah beliau sedar kebimbangan orang bukan Islam berhubung pindaan undang-undang negeri yang mendapat sokongan daripada Umno dan wakil rakyat PAS.

Dewan Undangan Negeri Perlis mengubah versi Bahasa Malaysia Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Islam 2006, daripada “ayah dan ibu atau penjaga” kepada “ibu atau bapa atau penjaga”, membenarkan mualaf ibu bapa mualaf menukar agama anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan daripada pasangan bukan Islam.

Asri memberi jaminan kepada orang bukan Islam yang tiada apa perlu mereka risaukan.

“Prinsip Islam tidak akan memaksa seseorang memeluk Islam tanpa kerelaan mereka sendiri,” katanya.

Beliau menambah kerelaan seseorang anak untuk memeluk agama Islam adalah faktor paling penting.

“Ibu bapa mereka juga tidak boleh memaksa anak menukar agama kerana ini dilihat sebagai satu bentuk paksaan. Di bawah undang-undang sivil atau syariah, paksaan tidak dibenarkan.”

Jawatankuasa Fatwa Perlis antara lain memutuskan hak penjagaan anak tidak dinilai berdasarkan agama ibu atau bapa.

“Sebaliknya, ia diserahkan kepada sesiapa yang lebih dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya,” menurut keputusan jawatankuasa itu.

PAUTAN: 

Tukar agama anak: DUN Perlis langgar fatwa mufti

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.