
Menteri pertahanan mengulas laporan Asia Maritime Transparency Initiative yang menunjukkan Republik Rakyat China menempatkan sistem persenjataan di 7 pulau buatan yang dibina negara komunis itu di Laut China Selatan, meskipun Beijing sebelum ini berikrar tidak akan menenterakan Kepulauan Spratly.
Bercakap kepada pemberita di Kementerian Pertahanan di sini hari ini, Hishammuddin berkata:
“Kita tidak akan ubah pendirian kita dan sekiranya perlu ‘push back’, kita tak peduli apa hubungan kita dengan kuasa dunia terbabit.”
Gambar yang memaparkan penempatan senjata terbit Rabu lalu selepas bakal Presiden AS Donald Trump berkata pentadbirannya sedia mengambil pendekatan yang lebih keras bagi menangani aktiviti China di Laut China Selatan.
Pembinaan aset ketenteraan di kepulauan itu sejak 3 tahun lalu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara berkepentingan, yang khuatir Beijing akan menggunakan kekuatan tentera untuk menguatkuasakan tuntutan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan, yang menjadi laluan utama kapal dagang bernilai AS$5 trilion setiap tahun.
Selain Malaysia dan China, Filipina, Vietnam, Brunei dan Taiwan juga mempunyai tuntutan di Kepulauan Spratly.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menduduki Pulau Layang-Layang, Terumbu Ubi dan Terumbu Mantanani yang terletak dalam pentas benuanya.
“Saya akan menulis kepada rakan sejawat di China dan AS untuk mendengar penjelasan mereka berhubung penemuan laporan itu,” kata Hishammuddin.
Beliau menjelaskan Malaysia tidak mahu melihat ketegangan di Laut China Selatan menjadi tidak terkawal dan mengheret negara ke dalam konfrontasi antara kuasa dunia.
“Sekiranya penenteraan itu terbukti betul, dan saya konsisten sejak Mac lagi, kami tidak akan benarkan kemelaratan aset tentera di Laut China Selatan,” katanya.