
Walaupun tidak menyebutnya, timbalan perdana menteri dipercayai merujuk kepada usaha mempertingkatkan hukuman Mahkamah Syariah melalui Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).
“Jangan kata dan gusar seolah-olah ada dualisme (mahkamah sivil dan syariah) dalam sistem kita. Dalam hal ini, berikanlah hak kepada orang Islam untuk tentukan acuan sendiri.
“Tak munasabah jika kita mahu bersolat atau mengambil wuduk, kita perlu bertanya kepada orang yang tidak memiliki pegangan sama dengan kita,” katanya ketika menutup persidangan Multaqa Perundangan dan Politik Majlis Perundangan Islam (MPI) di The Everly Hotel di sini, hari ini.
Perdebatan berhubung RUU355 berterusan selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menangguhkan pembentangan usul itu pada sidang Dewan Rakyat 24 November lalu.
Dua hari sebelumnya, kerajaan mengumumkan jawatankuasa khas Parlimen akan ditubuhkan untuk membincangkan isu berbangkit.
Jawatankuasa itu akan dianggotai ahli Parlimen Islam dan bukan Islam.
Ahmad Zahid beri jaminan kerajaan akan menghormati warga bukan Islam dengan syarat mereka memberi ruang kepada orang Islam mementukan hal-ehwal agama Islam.
“Mereka yang bukan seakidah dengan kita tidak akan diketepikan. Tetapi belajarlah hormati pegangan dan hak orang Islam.
“Kita tidak akan lakukan sesuatu yang keluar daripada acuan yang telah ditentukan. Jangan ada rasa khuatir timbul berdasarkan pentafsiran rambang dan sebelum penjelasan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang mendesak ahli politik bukan Islam agar tidak campur tangan dalam usul itu, yang menurutnya hanya melibatkan orang Islam.