
Dian Yulia Novi, 27, memberitahu saluran TVOne Indonesia Selasa lalu, dia pertama kali didedahkan dengan Islam radikal melalui laman Facebook milik militan, ketika bekerja sebagai pengasuh anak.
Dian berkata dia bekerja di Singapura selama satu setengah tahun, di mana dia menjaga 3 anak berumur 11, 9 dan 5 tahun, dan sebelum itu di Taiwan selama 3 tahun enjaga seorang wanita berusia 78 tahun.
Dian yang berpakaian purdah hitam juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang dipelajarinya ketika di Singapura, dan Mandarin ketika di Taiwan.
Dalam wawancara kira-kira 20 minit itu, Dian turut bertutur beberapa ayat dalam Mandarin ketika ditanya wartawan Ecep S. Yasa.
Dian merupakan antara 3 orang ditahan polis dalam serbuan mematahkan rancangan menyerang bangunan yang menempatkan pejabat Presiden Joko Widodo, Sabtu lalu.
Turut ditangkap ialah suaminya, Nur Solihin, yang hanya dikenalinya 3 bulan lalu dan dinikahkan menerusi wakil selepas berkenalan atas talian.
“Kita tidak pakai foto. Semuanya ikhlas untuk mencari redha Allah,” kata Dian, yang berkata beliau yakin suaminya baik, walaupun sudah beristeri dan mempunyai anak.
Katanya, dia juga tidak tahu siapa yang mewakilkannya dalam akad nikah.
Dian berkata beliau mula dipengaruhi idea radikal daripada “status Facebook jihadis”.
“Saya tidak ikut mana-mana kumpulan, cuma melayari dan ingin tahu,” katanya yang tidak pernah memandang wajah wartawan sepanjang wawancara itu.
Dian berkata beliau mula mengikuti tulisan ajaran Millah Ibrahim, sebuah aliran yang menganggap ajaran Islam yang ada pada hari ini tidak lagi asli, dan mendalami tafsirannya mengenai pelbagai aspek termasuk fekah, akidah, sejarah Islam dan muamalah.
Dian berkata tindakannya cuba melakukan serangan bunuh diri bukan dosa besar.
“Ini bukan membunuh diri secara putus asa atau ingin mengakhiri hidup saya, yang istilahnya istishad, adalah untuk mencapai redha Allah dan jihad fi sabilillah (kerana Allah),” katanya.