3.8 juta pengguna akan alami gangguan air Isnin depan

3.8 juta pengguna akan alami gangguan air Isnin depan

Kawasan yang terlibat adalah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur

selangor,air
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 814 kawasan sekitar Lembah Klang melibatkan lebih 707,759 akaun atau 3,892,641 pengguna akan menghadapi gangguan bekalan air Isnin depan susulan kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, Hulu Selangor.

Kawasan-kawasan yang terlibat susulan kerja penyelenggaraan dan pemasangan sistem perlindungan itu adalah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata kerja-kerja TNB itu selama 16 jam bermula 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam akan menjejaskan operasi di loji-loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60% pengguna di Lembah Klang.

“Kerja-kerja senggaraan ini dilakukan setiap 3 tahun bagi mencegah sebarang kerosakan atau gangguan bekalan elektrik yang tidak terancang di loji-loji rawatan air.

“Bekalan air akan pulih secara berperingkat selepas kerja penyelenggaraan sistem bekalan elektrik selesai dilaksanakan,” kata Mohd Ridhuan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, pengguna dinasihati untuk menyimpan air yang mencukupi sepanjang tempoh gangguan air sementara itu.

Mohd Ridhuan berkata pengguna boleh merujuk kepada laman web www.syabas.com.my untuk maklumat terperinci berhubung gangguan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.