
Awal hari ini Ideas khuatir program insentif yang mengalakkan lebih banyak kelahiran boleh membawa kepada kitaran kemiskinan.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah mahu mengingatkan Ideas bahawa anak rezeki daripada Tuhan.
Beliau juga berkata, Ideas tidak mempunyai bukti, data dan statistik yang menunjukkan anak daripada keluarga miskin ketinggalan disebabkan tidak mampu menampung kos membesarkan anak yang ramai.
“Jika rakyat tidak mampu, mereka tidak perlu meneruskan usaha menambah anak. Cumanya, harus diingat, anak adalah rezeki daripada Allah.
“Tidak pernah ada orang yang papa kedana kerana ramai anak,” kata Amini dalam satu kenyataan hari ini.
Amini menjawab kenyataan Pengurus Hubungan Luar Ideas, Azrul Mohd Khalib yang berkata mengalakkan keluarga yang tidak berkemampuan untuk mempunyai lebih ramai anak merupakan tindakan bahaya dan tidak bertanggungjawab.
Sebelum itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kerajaan negeri akan memberikan insentif RM100 bagi kelahiran anak pertama, RM200 anak ke-2 hingga ke-7 dan RM500 bagi kelahiran seterusnya.
Insentif itu sebahagian daripada kempen menambah kelahiran sehingga sekurang-kurangnya 25,000 bayi setahun, dan akan disalurkan menerusi skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-1).
Amini dalam kenyataannya memetik beberapa ayat al-Quran yang melarang orang Islam membunuh anak kerana takut miskin atau kemiskinan, kerana Tuhan memberi rezeki kepada mereka.
Menurut Amini, Islam juga membenarkan pasangan mengatur kelahiran tetapi tidak membenarkan membuang rahim bagi mencegah kelahiran tanpa sebab munasabah.
“Lagipun, Islam amat menggalakkan mencari calon isteri yang penyayang dan subur serta pandai mendidik anak-anak. Keberkatan akan diperolehi jika betul niat dalam perkahwinan,” katanya.
Insentif tunai galak kelahiran tak bertanggungjawab, kata IDEAS