
Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan semula sabitan liwat Anwar perlu dihormati semua pihak.
“Mahkamah adalah sebuah institusi bebas. Saya pasti hakim mempertimbangkan semua fakta dikemukakan dalam kes itu.
“Sesiapa yang sedang dibicarakan di mahkamah perlu mempunyai keyakinan penuh dalam hal ini,” katanya kepada FMT hari ini sambil menambah pembangkang juga perlu mencari seorang lagi calon perdana menteri jika mereka diberikan mandat.
Semalam, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencadangkan satu rancangan menyerupai “Langkah Kajang” dengan harapan dapat menjadikan Anwar sebagai perdana menteri, sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Salah seorang wakil rakyat PKR yang baharu menang boleh kosongkan kerusinya dan seawal 2 minggu selepas hari mengundi PRU14, Anwar boleh memenangi sebuah kerusi Parlimen dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri,” kata Rafizi dalam satu kenyataan pada Selasa.
Rahman bagaimanapun berkata, pelan menyerupai “Langkah Kajang” itu salah dari segi politik dan moral.
“Seolah-olah pembangkang tidak ada orang lain yang mampu menjadi pemimpin. Itu sebabnya mereka berusaha keras untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri.
“Namun, ia membimbangkan untuk melihat bagaimana sebuah parti politik bermatlamat menjadi sebuah kerajaan dengan hanya mempunyai 1 pilihan bagi jawatan itu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadikannya realiti.
“Bagaimana dengan (Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali? Atau (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail), (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan (timbalannya) Datuk Seri Mukhriz Mahathir?
“Adakah mereka tidak mampu memimpin negara bagi pihak pembangkang?”
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed mentertawakan pelan Rafizi dengan berkata, ia hanya membazir sumber awam.
“Langkah Kajang” pada 2014 menyaksikan Adun PKR Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk menterbalikkan pembebasan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun, menyebabkan beliau hilang kelayakan bertanding.
Isterinya, Dr Wan Azizah menggantikan Anwar dan memenangi pilihan raya kecil itu.
Langit tak runtuh kalau Anwar tak jadi PM, sindir Ibrahim Ali